KERAJAAN perlu campur tangan ubah polisi larangan bertudung buat pekerja hotel kerana ia jelas merendahkan martabat wanita dan agama di Malaysia.
Dalam kenyataan hari ini, Malaysian Alliance of Civil Society Organisations (MACSA) mendesak Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dengan Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat serta kementerian berkaitan mengambil tindakan lanjut.
“…Kami setuju majikan berhak mengenakan kod berpakaian kepada pekerja berpada-pada, iaitu menghalang pemakaian bernilai agama sehingga boleh menyusahkan majikan, pekerja atau atas faktor keselamatan.
“Bagaimanapun, larangan seperti itu, mestilah dibenarkan dalam keadaan yang perlu sahaja.
“Pemakaian tudung oleh pekerja beragama Islam sudah tentu tidak jatuh dalam mana-mana kategori itu (membahayakan),” kata pengerusi MACSA, Azril Mohd Amin.
Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) baru-baru ini mendedahkan kakitangan hotel mengadu kepada mereka mengenai diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam yang diarahkan menanggalkan tudung mereka.
Semalam, Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Cheah Swee Hee mempertahankan tindakan operator hotel yang melarang pekerja wanita beragama Islam bertudung bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan dengan hujah bahawa ia sebahagian daripada polisi antarabangsa dan bukannya diskriminasi.
Sebagai respon terhadap Cheah, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata Putrajaya patut mengambil tindakan menarik kembali lesen hotel yang melaksanakan polisi yang menekan wanita bertudung.
“Sudah tentu, pelancong dan pengembara antarabangsa tahu kenyataan Cheah itu tidak tepat,” kata Azril, menambah ada banyak lagi contoh hotel di dunia ini yang tidak mengenakan larangan terhadap pekerjanya untuk memakai pakaian mengikut kepercayaan agama.
“Ringkasnya, tidak ada SOP antarabangsa yang melarang pemakaian tudung. Ya, ia adalah satu bentuk diskriminasi. Apa yang MAH perlu faham ialah diskriminasi itu tidak memberi kelebihan pun dalam pasaran kapitalis.”
“Tiada data yang mengatakan pekerja bertudung memberi kesan negatif terhadap kepuasan pelanggan.
“Sebaliknya, dengan melarang pekerja memakai tudung secara tak langsung mengehadkan pekerja yang layak dan produktif sebab ia akan membuatkan mereka malu untuk bekerja di hotel yang menghalang kepercayaan agama mereka,” katanya.
Azril berkata, jumlah penghuni hotel di Malaysia telah menurun secara mendadak dalam 10 tahun kebelakangan ini semenjak MAH mengenakan syarat larangan bertudung terhadap pekerja.
“sekurangnya salah satu faktor ialah kerana rasa tidak puas hati pelanggan terhadap kualiti perkhidmatan,” katanya.
“Industri perhotelan dan hospitaliti sedang rancak untuk meningkatkan tenaga kerja. Sepatutnya menarik lebih ramai pencari kerja yang berminat, MAH pula menutup pintu peluang itu terhadap ribuan wanita Islam untuk meneruskan kerjaya dalam bidang hospitaliti.
“Hanya disebabkan larangan bertudung itu.
“Polisi ini jelas satu bentuk prejudis dan penolakan budaya. Ia tidak berbunyi seperti polisi yang mengutamakan perniagaan atau dibuat kerana undang-undang.
“Oleh itu, ia boleh digubal, dan patut diubah.
“Malaysia sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan kebebasan beragama bukan sesuatu yang kita larang… Bila kamu mula menghalang sesebuah kumpulan kerana alasan agama, akan menambahkan permusuhan, yang sama sekali berlawanan langsung dengan apa yang industri hospitaliti tawarkan,” kata Azril. – 12 November, 2017.
Komen