DR Mahathir Mohamad menyangkal pandangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengenai punca berlakunya krisis politik negara, meramalkan pada malam ini yang kekalutan itu tidak akan berakhir.
Muhyiddin berkata semalam, perletakan jawatan Dr Mahathir menjadi pencetus kepada krisis dan beliau tampil untuk menyelamatkan keadaan.
“Benarkah, tiba-tiba tanpa sebab saya letak jawatan? Saya yang kononnya disokong oleh parti kerajaan dan parti lawan, termasuk Najib Razak dan beberapa lagi yang sedang dibicara atas tuduhan rasuah menyokong saya?” kata Dr Mahathir dalam catatan sepanjang enam para di blognya.
“Ini tidak masuk akal.”
Dr Mahathir mendedahkan beliau meletak jawatan sebagai ahli politik dengan mengadap Yang di-Pertuan Agong serta membuat pengakuan tidak lagi mendapat sokongan atau mempunyai penyokong.
“Saya tidak dapat majoriti dan tidak lagi layak menjadi perdana menteri,” katanya dalam artikel di blog miliknya.
Dr Mahathir berkata pihak Istana menerima perletakan jawatannya, yang kemudian melantik beliau sebagai perdana menteri interim.
Beliau semalam menyifatkan Muhyiddin sebagai pengkhianat yang mencetuskan krisis hingga membawa kepada tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan pada Isnin lalu.
“Siapa yang akan ganti saya. Rakyat bosan dengan orang politik yang lebih utama politik dari pentadbiran yang baik.
“Saya cadang diadakan satu kerajaan nasional yang bukan orang politik yang berpengetahuan juga akan menyertai Kerajaan. Orang parti juga akan menyertai kerajaan tetapi sebagai orang biasa yang tidak tertakluk kepada agenda parti mereka.
“Tetapi cadangan saya ditolak. Saya pun letak jawatan. Dan berlarutanlah krisis ini. Saya tidak tahu bila ia akan tamat??” katanya.
Muhyiddin dalam ucapan disiarkan di televisyen malam tadi berkata, krisis politik itu tercetus oleh perletakan jawatan Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan mendakwa beliau hanya cuba menyelamatkan negara daripada “kemelut politik”.
“Saya hanya tampil untuk menyelamatkan keadaan apabila kedua-dua calon perdana menteri tidak mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat,” kata Muhyiddin. – 3 Mac, 2020.
Komen