Zakir Naik bukan masalah atau musuh, kata Utusan Malaysia


Diyana Ibrahim

Penceramah agama kontroversi India Zakir Naik bukan satu masalah apatah lagi untuk dianggap sebagai musuh, kata Utusan Malaysia melalui ruangan pojoknya hari ini. – Gambar EPA, 12 November, 2017.

DR Zakir Naik bukan masalah apatah lagi musuh, kata Utusan Malaysia susulan daripada pengesahan status penceramah kontroversi dari India itu yang telah disahkan bebas daripada aktiviti penggubahan wang haram oleh Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Menerusi ruangan pojok, Awang Selamat berkata pengesahan timbalan perdana menteri itu membuahkan rasa lega buat kolumnis itu yang melihat Zakir itu menjadi mangsa tohmanan.

“Sepatutnya Zakir Naik yang pakar dalam perbandingan agama perlu dihadapi dengan keyakinan oleh sesiapa pun melalui pendekatan ilmiah bukan secara sentimen liar dan esktrem.

“Awang kasihan kerana pendakwah itu menjadi mangsa tohmahan sehingga turut mengheret kerajaan Malaysia kepada situasi ditekan dan diugut oleh pihak yang umpama kaduk naik junjung,” katanya seperti dipetik dalam ruangan pojoknya.

Rabu lepas, Zahid mengesahkan bahawa penceramah kontroversi itu tidak melakukan sebarang kesalahan melanggar undang-undang di Malaysia.

Menteri dalam negeri itu mengesahkan bahawa Zakir tidak mempunyai sebarang kaitan dengan aktiviti terorisme dan penggubahan wang haram.

Bagaimanapun Zahid berkata, pihak berkuasa akan terus memantau penceramah itu.

Bulan lepas, Putrajaya menafikan memberi “layanan istimewa” kepada Zakir yang menjadi pemastautin tetap di Malaysia selama lebih lima tahun.

Zahid berkata, Zakir tidak melanggar mana-mana undang-undang di Malaysia.

Beliau terus menafikan dakwaan media asing bahawa Zakir memohon untuk menjadi warganegara Malaysia.

Penceramah itu diselebungi kontroversi selepas cadangannya untuk mengenakan hukuman mati kepada homoseksual dan kepada mereka yang murtad.

Agensi anti pengganas India bersedia untuk mendakwa Zakir atas tuduhan menganjurkan kebencian dan permusuhan antara kumpulan agama di India melalui sesi ceramah beliau. – 12 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen