KELAB pelajar Umno luar negara dan kumpulan diaspora Malaysia menolak pembentukan kerajaan baharu yang menyertakan parti pembangkang dan menuntut pilihan raya baharu diadakan.
Badan Perhubungan United Kingdom & Eire serta Malaysian Progressives United Kingdom juga mengutuk tindakan pemimpin parti untuk membentuk kerajaan itu sebagai satu pengkhianatan.
“Penyertaaan parti pembangkang sebagai komponen dalam kerajaan secara langsung telah membelakangi kehendak rakyat yang telah pun diterjemahkan dalam bentuk undian dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Pembentukan kerajaan ini melambangkan suati penistaan institusi demokrasi,” kata pertubuhan itu dalam satu kenyataan.
Ia menjelaskan, walaupun pembangkang membentuk blok majoriti yang dan berhak membentuk kerajaan, pengundi tidak hanya memilih calon tersebut tetapi juga parti untuk memimpin negara.
Pertubuhan itu juga bimbang pengkhianatan seperti itu akan berulang jika tidak dihalang dan kerajaan itu hanya bertindak ke atas agenda politik masing-masing dan bukannya kepada kehendak rakyat.
“Apabila blok yang telah menang pilihan raya umum berpecah, mandat sepatutnya diserahkan kembali kepada rakyat untuk diperbaharui agar kerajaan pengganti dapat memperoleh mandat baharu,” katanya.
“Tidak kira siapa pun yang dilantik menjadi perdana menteri, parti yang kalah PRU14 tidak wajar disertakan dalam kerajaan baharu.
“Kami mengutuk permainan politik yang berkiblatkan agenda peribadi. Ia merugikan rakyat dan negara,” kenyataan itu dipetik.
Kemelut politik yang berlarutan lebih seminggu berakhir pada Ahad lalu dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah jawatan perdana menteri kelapan.
Beliau mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik ke jawatan itu selepas mendapat sokongan PAS, Umno serta GPS.
Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad yang menggelar Muhyiddin sebagai pengkhianat bagaimanapun berkeras bahawa ahli Parlimen Pagoh itu tidak mendapat sokongan majoriti ahli Dewan.
Pengerusi Pakatan Harapan itu juga menuntut sidang Dewan Rakyat diadakan segera bagi membolehkan kedudukan Muhyiddin sebagai perdana menteri dapat ditentukan. – 3 Mac, 2020.
Komen