Malaysia lapor 7 kes baharu Covid-19


Malaysia melaporkan tujuh kes baharu jangkitan Covid-19 hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mac, 2020.

TUJUH kes baharu Covid-19 di Malaysia dilaporkan hari ini, membawa kepada jumlah kes positif sebanyak 36 kes.

Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, hari ini, selepas beliau hadir mesyuarat dengan pegawai Kementerian Kesihatan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Majls Keselamatan Negara, Jabatan Imigresen dan pegawai kanan kerajaan lain.

“Dengan tujuh kes baharu dilaporkan hari ini, terdapat 36 kes di negara ini, yang mana 22 daripadanya sudah pulih,” katanya.

Daripada jumlah itu, 14 kes masih dirawat di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur.

“Kes yang dirawat di wad semuanya dalam keadaan stabil,” tambahnya.

Setakat pagi tadi, jumlah jangkitan Covid-19 di seluruh dunia sudah mencecah 90,306 kes di 70 buah negara.

Hampir 50% daripadanya atau 45,603 pesakit berjaya pulih. Kadar kematian adalah 3.4% melibatkan jumlah korban sebantak 3,084 orang.

Muhyiddin yang kini menjawat jawatan perdana menteri sejak mengangkat sumpah Isnin lepas, juga bertemu pegawai kanan Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Beliau diberi taklimat tentang keadaan fiskal negara dan situasi ekonomi semasa, serta perkembangan pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi yang diumum minggu lepas untuk mengekang kesan wabak Covid-19.

Muhyiddin berkata beliau sudah mengarahkan jentera kerajaan untuk melaksanakan pelan dan program yang dimulakan kerajaan terdahulu menerusi Belanjawan 2020. – 3 Mac, 2020.
 


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen