WALAUPUN dengan keadaan sempit dan terpaksa bersesak-sesak, flat subsidi kerajaan yang murah di pusat bandaraya Kuala Lumpur menjadi talian hayat bagi Ahmad Karim dan Mohd Sufiyan serta keluarga mereka.
Kedua-duanya berada dalam kategori B40 yang merujuk kepada isi rumah berpendapatan bulanan bawah RM3,860, tetapi pengalaman mereka yang berbeza menunjukkan bagaimana garis hayat perumahan awam, yang bertujuan sebagai batu loncatan untuk kehidupan lebih baik, tidak semestinya mampu mengeluarkan mereka daripada kitaran kemiskinan.
Mobiliti sosial yang mereka harapkan adalah apabila mencapai usia emas, anak-anak dengan kehidupan lebih baik akan menjaga mereka dan berpindah ke tempat lebih selesa.
Tetapi hakikatnya, ia memerlukan lebih sekadar perumahan bersubsidi untuk mencapai semua ini.
“Walaupun mereka boleh mendapat rumah murah, terdapat banyak faktor lain yang mempengaruhi mobiliti sosial keluarga dan sama ada anak mereka akan mempunyai kehidupan lebih baik berbanding orang tuanya,” kata pekerja sosial Jasmine Adaickalam.
Adaickalam terlibat dalam projek pembangunan komuniti di seluruh Malaysia dengan golongan miskin bandar selama lebih tiga dekad bagi organisasi kerajaan dan NGO.
Beliau menyaksikan sendiri apa yang berkesan dan tidak apabila ia melibatkan soal membawa sesebuah keluarga keluar daripada kancah kemiskinan. Dan perumahan mampu milik dan boleh dipercayai, hanyalah sebahagian daripada penyelesaiannya.
“Rumah mampu tengok”
Selama hampir 30 tahun, pesara Karim tinggal di rumah pangsa kos rendah dengan dua bilik yang sama di Sri Perak, Sentul, dan tidak tahu sama ada sampai bila akan menetap di situ.
“Rumah-rumah yang dibina hari ini bukan mampu milik,” katanya, menunjuk kepada kompleks apartmen baru yang dapat dilihat dari flatnya sendiri di Bandar Baru Sentul.
“Ia hanya mampu tengok,” kata lelaki berusia 63 tahun itu mengenai usaha kerajaan untuk membina rumah mampu milik.
Tiga daripada anak-anaknya sudah berkeluarga tetapi terpaksa bergelut untuk memenuhi keperluan kehidupan, dia enggan menyusahkan mereka dengan tinggal bersama.
Bekas pembantu kerani itu adalah satu daripada ramai pesara yang masih tinggal di flat Sri Perak yang mempunyai 1,428 unit di tujuh blok.
Untuk melayakkan mendiami unit-unit di sini, seseorang mestilah berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan dan mempunyai bilangan tanggungan tertentu.
Flat-flat Seri Perak dikenali umum sebagai tempat untuk pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Pada pertengahan tahun 1980-an, kerajaan mengubah statusnya menjadi perumahan awam.
Menurut Karim yang dulu hidup di kawasan setinggan sebelum berpindah ke flat, lebih 70% penghuni di situ adalah penjawat awam.

Berdasarkan pelbagai faktor, ramai yang tinggal di sini tidak akan atau tidak boleh berpindah. Dalam kes Karim, faktor kos hidup yang tinggi menelan sebahagian besar pendapatan bulanan daripada pencennya.
Karim terpaksa melunaskan pinjaman bank yang diambilnya bagi unit dua bilik bersaiz 500 kaki persegi itu. Apabila dia membelinya lebih 30 tahun lalu, kerajaan menawarkan harga kira-kira RM26,000.
Perumahan kos rendah atau Projek Perumahan Rakyat (PPR) biasanya berkeluasan 650 kaki persegi seunit dan kos antara RM35,000 hingga RM60,000. Ia dikhaskan untuk isi rumah B40 yang jumlah pendapatannya RM3,000 dan ke bawah.
Walaupun tanpa beban pinjaman perumahan, Karim berkata dia masih bergelut untuk meneruskan kehidupan dengan pencen sebanyak RM1,500 sebulan.
“Saya terlepas bayaran bil-bil utiliti,” kata Karim, sambil menambah ia biasanya berlaku pada bulan ketika dia membawa isterinya ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk rawatan “slip disc”.
Pencennya juga digunakan untuk menanggung anak bongsunya belajar di politeknik.
“Saya juga tidak meminta bantuan anak-anak yang dewasa kerana mereka perlu menanggung perbelanjaan untuk keluarga mereka sendiri. Mereka bekerja di sektor swasta dan gaji juga kecil.”
“Satu bulan mereka beri saya duit tetapi sebulan kemudian apabila tersepit, mereka akan meminjam daripada saya. Bulan depan saya minta wang itu semula. Jadi ia sama sahaja.”
Masalah utama yang dialami Karim adalah kos sara hidup yang semakin naik terutama di bandar.
Indeks harga pengguna (CPI), pengukur inflasi, naik 4.3% pada September lalu berbanding tahun lepas. CPI Malaysia mencapai 5.1% pada Mac, sejak lapan tahun lalu.
“Pesara seperti saya sangat merasainya. Saya tidak mampu dengan kenaikan harga barang yang semakin mahal.”
Kepentingan pendidikan
Pekerja DBKL, keadaan Sufiyan yang tinggal bersama keluarga di sebuah unit di seberang blok Karim agak lebih baik dengan seorang daripada anak-anaknya yang bekerja dapat memberi wang kepadanya secara tetap.
Seperti jirannya, Sufiyan, yang memperoleh pendapatan kira-kira RM1,600 sebulan, juga menanggung anak perempuan berusia 19 tahun di kolej.
Berusia 55 tahun dari Johor – bapanya juga bekas penjawat awam berpangkat rendah – optimis yang suatu hari nanti anak-anaknya akan dapat menjaga mereka suami isteri.
“Anak sulung saya kini bekerja selepas tamat belajar di universiti. Anak saya mendapat biasiswa belajar di luar negara. Dia kini membantu membayar pinjaman kereta saya,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Perbelanjaan masih tinggi bagi pasangan itu kerana mereka mempunyai anak angkat yang kini berusia tujuh tahun. Tetapi anak sulungnya kerap memberi wang ketika balik menziarah bersama keluarganya.
Dia tidak memutuskan sama ada mahu berpindah daripada flat sempitnya apabila bersara pada 2020 kerana kemudahan pendidikan lebih hampir bagi anak angkatnya.
“Sekolah rendah dekat dan prestasinya juga baik di sana. Saya tidak mahu memindahkannya. Tambahan pula, rumah sangat mahal.”
Sufiyan, yang belajar sehingga tingkatan tiga menyedari betapa pentingnya sekolah anaknya jika dia mengharapkannya meneruskan pendidikan ke peringkat seterusnya. Anak yang lain juga mempunyai pencapaian akademik yang cemerlang.
Pekerja sosial Adaickalam berkata hasil pendidikan berkaitan dengan keadaan hidup fizikal keluarga yang menghuni perumahan jenis ini.
Dalam tugasnya, dia mendapati kanak-kanak tinggal di rumah pangsa yang sempit mempunyai masalah membuat kerja sekolah dan memberi tumpuan kepada pelajaran mereka.
Dalam banyak kisah kejayaan, dia melihat kanak-kanak yang cemerlang di sekolah dan menjadi lebih baik berbanding ibu bapa mereka, mempunyai ruang belajar yang disediakan oleh pihak NGO, sekolah mereka atau badan kerajaan.
Inilah yang dilalui anak-anak Sufiyan yang lebih tua. Mereka mendapat kelas tambahan selepas sekolah.
“Apabila datang daripada keluarga kumpulan B40, terdapat kekurangan bimbingan untuk anak-anak mereka kerana ibu bapa juga tidak mempunyai taraf pendidikan yang baik,” kata Adaickalam.
“Ia lebih teruk apabila ibu bapa, terutamanya bapa perlu bekerja lebih daripada lapan jam sehari untuk menyara keluarga.
“Selalunya kita fikir hanya dengan memberi perumahan percuma atau murah, kita secara automatik boleh membantu mereka menaiki tangga sosial.
“Realitinya adalah lebih kompleks kerana terdapat unsur-unsur sosial dan psikologi penting yang perlu disediakan,” katanya. – 12 November, 2017.

Komen