KEDAH kini ditadbir kerajaan “Pakatan Plus” walaupun terdapat perubahan kepimpinan di Putrajaya, kata seorang exco negeri.
Enam Adun Kedah daripada Bersatu memutuskan untuk terus menyokong Pakatan Harapan, walaupun parti mereka secara rasmi keluar PH pada 24 Februari lalu.
Enam orang tersebut akan terus menyokong Menteri Besar Mukhriz Mahathir dan pentadbiran PH, kata Ismail Salleh, pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri.
“Jadi, kita panggil kerajaan Pakatan Plus kerana ia adalah Pakatan tambah enam orang Adun daripada Bersatu,” kata Ismail kepada The Malaysian Insight.
Dengan itu, Pakatan Plus memegang majoriti dengan 19 daripada 36 kerusi DUN.
Ini bermakna, walaupun PH hilang kuasa di peringkat persekutuan, mereka masih mampu berkuasa di empat negeri setakat ini iaitu Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Kedah.
Ia sudah hilang Johor dan Melaka, Perak bagaimanapun masih belum mengisytiharkan perubahan kerajaan.
Ismail berkata ketika kerajaan PH di Putrajaya tumbang pada 24 Februari lalu, enam Adun Bersatu di Kedah masih menyokong kepimpinan Mukhriz.
Bersama-sama Mukhriz yang merupakan Adun Jitra, Adun tersebut ialah Juhari Bulat (Ayer Hangat), Mohamad Firdaus Ahmad (Kuah), Halimaton Shaadiah Saad (Bukit Kayu Hitam), Amiruddin Hamzah (Anak Bukit) dan Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Guar Chempedak).
“Kami semua pergi ke Istana Kedah dan dihadapan Sultan, kami tandatangan pengisytiharan yang kami akan terus memberikan sokongan kepada menteri besar yang sama walaupun kerajaan persekutuan tumbang,” katanya.
“Bila perdana menteri baharu (Muhyiddin Yassin) angkat sumpah (pada 1 Mac), enam orang Adun itu tidak berubah pendirian dan kekal bersama kami sehingga hari ini.
“Jika mereka berubah dan ikut kerajaan persekutuan, kerajaan Kedah sudah tumbang sekarang. Tetapi, ia tidak berlaku dan mereka masih bersama kami.
“Esok kita akan mengadakan mesyuarat exco seperti biasa. Insyallah tidak ada yang akan berubah.” – 3 Mac, 2020.
Komen