Global Bersih gesa warga Malaysia bantah perubahan kerajaan


GLOBAL Bersih sudah mula menggerakkan warga Malaysia di luar negara untuk membantah pembentukan kerajaan baharu yang dilakukan tanpa mandat pengundi.

Rakyat Malaysia di luar negara boleh berkempen di media sosial menggunakan tanda pagar #RespectMyVote apabila menulis kebimbangan tentang perkembangan politik semasa terkini, kata penyelaras pergerakan itu di Malaysia Dineskumar Ragu dalam satu kenyataan.

Pembantah luar negara juga digesa menulis kepada ahli Parlimen mereka untuk meluahkan kekecewaan dengan “politiking berterusan” dan meminta wakil rakyat mereka mengtepikan perbezaan politik demi kepentingan negara.

Rakyat Malaysia di luar negara juga diminta bersolidariti dengan mengadakan himpunan kecil di bandar seluruh dunia.

“Muat naik video dan gambar dengan plakad, menggunakan tanda pagar #RespectMyVote,” kata Global Bersih.

Pergerakan itu penting dalam menggerakkan rakyat Malaysia di luar negara pada Pilihan Raya Umum 2018 untuk pulang mengundi.

Dimaklumkan juga, maklumat lanjut tentang bantahan perubahan kerajaan boleh diperolehi daripada laman webnya dan platform media sosial.

Kerajaan baharu di bawah Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menggantikan kerajaan Pakatan Harapan yang mula berkuasa sejak Mei 2018.

Perubahan itu berlaku selepas seminggu kemelut politik menyaksikan usaha Muhyiddin, bekas timbalan presiden PKR Mohamaed Azmin Ali, Umno dan PAS untuk membentuk kerajaan.

Muhyiddin mengangkat sumpah selaku perdana menteri pada 1 Mac, tetapi PH mempersoalkan majoriti dimilikinya dan mendesak sidang khas Dewan Rakyat diadakan untuk menguji sokongan ahli Parlimen terhadap Muhyiddin. – 3 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen