KETIKA tarikh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) terus jadi teka-teki, Barisan Nasional (BN) Sarawak secara lunak mengatur strategi dari segi dasar dan kaedah kempen dengan lebih sistematik.
Berdasarkan kerja lapangan terakhir di beberapa kawasan di Sarawak, saya boleh rumuskan BN Sarawak akan mengekalkan monopoli kemenangannya, berbanding pencapaian BN beberapa negeri di Semenanjung Malaysia yang dijangka akan merosot.
BN Sarawak kini mempunyai 25 daripada 31 kerusi Parlimen; 14 daripada dipegang oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), iaitu Santubong, Petra Jaya, Kota Samarahan, Mambong, Batang Sadong, Batang Lupar, Betong, Tanjong Manis, Igan, Mukah, Kapit, Sibuti, Limbang dan Lawas.
Parti Rakyat Sarawak (PRS) mempunyai enam kerusi manakala Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) memiliki empat kerusi. Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) hanya menang di satu daripada tujuh kerusi yang ditandingi.
Berdasarkan situasi politik di Sarawak, BN Sarawak dijangka akan mengemukakan sekitar hampir 20% calon baru atau 14 muka baru.
BN Sarawak dilihat begitu berhati-hati dalam usaha peremajaan parti kerana, pertama, BN Sarawak tidak ada isu tentang calon yang sudah berumur ditolak untuk menjadi pemimpin.
Sebagai contoh parti PBB dan PRS mempunyai ramai wakil rakyat berumur 60 tahun ke atas. Namun, perkara ini tidak dilihat berunsur negatif. Malah dilihat dalam konteks sebagai pemimpin berpengalaman dan lebih matang.
Kedua, pemimpin hanya diganti sekiranya ada faktor yang tidak dapat dielakkan sahaja. Faktor ini ialah kesihatan, lanjut usia, terlalu lama menjadi wakil rakyat dan yang terakhir, kurang berprestasi.
Namun faktor kesihatan dan lanjut usia lebih banyak diperkatakan berbanding faktor kurang berprestasi. Hal ini kerana dalam budaya politik BN Sarawak, isu kurang berprestasi dianggap isu tabu dalam politik dan tidak banyak dibincangkan secara terbuka.
Langkah peremajaan parti dilihat bersifat evolusi atau dibuat secara perlahan-lahan, tidak terburu-buru dan tidak dibuat secara drastik. Hal ini memastikan proses perkaderan pemimpin dilakukan secara sistematik dan teratur tanpa menyebabkan struktur dalaman parti tidak terjejas.
Bagi yang baru mengenali BN Sarawak kemungkinan akan melihat ini sebagai pendekatan politik selamat oleh pimpinan dalaman parti manakala dari satu aspek lagi memperlihatkan strategi lunak mempertahankan status quo atau sine qua non untuk memelihara kestabilan parti.
Parti Bersatu Rakyat Sarawak berteraskan parti etnik Cina majoriti dijangka mengemukakan enam calon baru. Pada PRU 2013, enam kerusi Parlimen dipertandingkan oleh SUPP tewas di tangan pembangkang. Hanya satu kerusi Parlimen Serian yang mempunyai majoriti pengundi terdiri daripada etnik bidayuh yang menang.
PRS dijangka hanya mengemukakan seorang calon baru di Parlimen Lubok Antu. Kerusi yang disandang oleh William Nyalau itu bakal diambil alih oleh calon wanita. Setakat ini belum ada lagi wanita Dayak di Sarawak dilantik menjadi wakil rakyat.
Sekiranya ini berlaku, ia bakal mencatat sejarah wanita Iban yang pertama dipilih secara demokratik melalui pilihan raya berparlimen.
Ada dua calon wanita disebut-sebut iaitu seorang ahli akademik berkelulusan PhD di luar negara yang kini menjadi ahli akademik di universiti tempatan yang aktif membuat kajian pembangunan wanita luar bandar dan ibu tunggal, manakala seorang lagi aktivis politik yang menafikan beliau mempunyai rancangan atau cita-cita menjadi calon.
Nyalau disebut-sebut bakal ditawarkan untuk dilantik sebagai senator, sekali gus melunakkan pengguguran tersebut.
Pelantikan ini bakal membawa komitmen Nyalau untuk akur dan membantu menjernihkan suasana berkempen memenangkan calon baru yang akan bertanding mewakili BN di Lubok Antu.
Meskipun dikatakan Joseph Entulu yang kini menteri di Jabatan Perdana Menteri akan digugurkan oleh pimpinan tertinggi PRS namun ini dilihat sukar kerana Entulu mempunyai hubungan rapat dengan Putrajaya dan akar umbi masih mahukan Entulu kekal.
Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yang kini dijenamakan semula sebagai Parti Demokratik Progresif (PDP) juga mengambil langkah seperti parti PRS, iaitu hanya bakal menggugurkan satu kerusi Parlimen.
Dalam hal ini, William Mawan sebagai wakil rakyat di Saratok bakal digugurkan. Hal ini kerana Mawan kini menyandang dua kerusi, iaitu kerusi DUN dan Parlimen. Dasar BN yang dipraktiskan kini ialah tidak boleh memegang kedua-dua kerusi.
Agak sukar Mawan untuk terus kekal sebagai penyandang kerana dalam mesyuarat parti komponen BN tidak akan ada lagi konsep calon langsung. Lagi pun sukar untuk mempertahankan Mawan seorang kerana ia boleh merosakkan hubungan parti-parti komponen lain.
Justeru, PDP dijangka meletakkan etnik Iban profesional muda bagi mengambil alih kerusi Saratok. Sehingga kini, William Mawan tidak berparti meskipun pernah memohon menyertai parti PBB
Berdasarkan evolusi yang dilakukan oleh kepimpinan komponen BN Sarawak, ia dijangka dapat melakukan peremajaan parti secara perlahan, terhad dan bersifat langkah selamat untuk memelihara ekosistem politik agar terus stabil dan kukuh.
Yang penting, ia bakal menjamin BN Sarawak bakal menang besar pada PRU14 yang mesti diadakan sebelum Ogos 2018. – 12 November, 2017.
* Dr Awang Azman Awang Pawi ialah ahli akademik yang percaya dunia akademik melangkaui politik kepartian dan intelektual awam adalah pencetus pencerahan. Selain memberi kuliah beliau juga menjalankan kajian bebas dalam bidang sosio-budaya termasuk budaya politik dan budaya masyarakat.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen