Zahid tak didakwa hina mahkamah


Bede Hong

Mahkamah tidak mendakwa Ahmad Zahid Hamidi kerana menghina mahkamah disebabkan gagal hadir perbicaraan semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 3 Mac, 2020.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur memutuskan tidak mendakwa Ahmad Zahid Hamidi kerana menghina mahkamah selepas presiden Umno itu gagal menyerahkan surat Pejabat Perdana Menteri yang menyatakan beliau hadir mesyuarat dengan Muhyddin Yassin.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menerima permohonan maaf Zahid kerana tidak membawa surat yang menyatakan beliau perlu hadir mesyuarat berkaitan lantikan Kabinet.

Beliau menerima penjelasan Zahid yang terdapat salah faham apabila pasukan pembelaannya berhujah meminta perbicaraan semalam ditangguhkan.

Hakim bagaimanapun memberi amaran mahkamah tidak akan bertolak ansur lagi sekiranya perkara itu berlaku lagi.

Zahid memohon maaf daripada kandang tertuduh.

“Saya minta maaf. Saya tak berhasrat perdaya mahkamah. Saya sangat hormatkan Yang Arif dan mahkamah.”

Jelasnya, pembantu Muhyiddin yang bercakap dengannya semalam bukanlah setiausaha politik kerana tiada lantikan dibuat lagi dan kerana itu tiada surat JPM boleh dikeluarkan.

Timbalan Pendakwa Raya Rozela Raja Toran membantah penjelasan Zahid, menyifatkannya satu penipuan.

“Semalam, dia kata ada surat tetapi sekarang kata surat tidak boleh dikeluarkan pula.

“Ada rekod dia kata surat sudah dihantar kepadanya. Tertuduh sekali lagi buat cerita. Tiada mesyuarat yang diatur dengan perdana menteri.”

Semalam, Zahid berkata beliau bertemu setiausaha politik Muhyiddin pada jam 12.45 tengahari tetapi perdana menteri sudah bertolak ke Muar, Johor ketika itu.

Zahid, 67, dituduh menerima rasuah kerana meluluskan kontrak bekalan cip pasport kepada beberapa syarikat swasta. Beliau berdepan 47 pertuduhan jenayah termasuklah 27 pertuduhan pengubahan wang haram. – 3 Mac, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen