PAKATAN Harapan (PH) hanya boleh bangkit semula dengan menggantikan pemimpin lamanya dengan generasi baharu, kata penganalisis.
“Generasi kepimpinan sekarang sepatutnya keluar dengan berhemah secara berperingkat, sementara lapisan kedua kepimpinan, seperti Rafizi Ramli, Fahmi Fadzil, Liew Chin Tong, Yeo Bee Yin contohnya, patut diberikan ruang lebih luas untuk memperkenalkan naratif baharu untuk Malaysia.
“Sudah tiba masanya untuk Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu menyiapkan pemimpin baharu dan mereka pula keluar daripada barisan kepimpinan,” kata pensyarah sains politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar.
Tunku Mohar mengulas tentang kemelut politik sepanjang minggu ini yang berakhir dengan PH hilang kuasa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Johor. Tiga lagi kerajaan negeri PH dijangka berkubur di Kedah, Perak dan Melaka minggu ini.
Dr Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia juga percaya ahli politik PH yang masih bergayut pada politik lama menggunakan isu kaum dan agama, perlu memberi laluan kepada pemimpin muda dengan idea baharu.
“Ini bermakna orang seperti Dr Mahathir (bekas perdana menteri dan pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad), Anwar, Lim Kit Siang dan yang lain patut berundur dari arena politik untuk memberi ruang pada pemimpin muda mempromosikan idea mereka untuk Malaysia Baharu.”
Azmil berkata Perikatan Nasional (PN) yang baharu sudah pun 97% gabungan satu kaum dan PH perlu dibina atas identiti masyarakat majmuk untuk tampil berlainan berbanding kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
“Parti-parti komponen perlu ketepikan kepentingan sempit mereka dan menghasilkan agenda yang akan memberi faedah kepada rakyat Malaysia terutama yang dipinggirkan.
“Lebih penting ialah, PH perlu mengubah naratif politik kaum dan agama dan tidak terpedaya dengan permainan Umno dan PAS,” kata Azmil.
Pakatan yang tidak keruan
Walaupun gabungan itu berada dalam kerajaan selama lebih 22 bulan, PH gagal mewujudkan satu agenda dan objektif bersama, melangkaui kemenangan pilihan raya itu, kata Azmil.
“Setiap komponen bertindak berasaskan kepada kepentingan sendiri dan hampir tidak ada usaha untuk menyatukan kepentingan-kepentingan parti yang berbeza ini. Usaha ini patutnya dilaksanakan sebelum PRU14, bukan selepas itu.
“Kerja sebenar bermula selepas menang pilihan raya dan kekurangan perpaduan dan hala tuju benar-benar meranapkan kerja yang cuba kerajaan PH laksanakan sepanjang dua tahun lalu,” kata pensyarah sains politik itu.
Tunku Mohad berkata walaupun PKR, DAP dan Amanah berkongsi orientasi politik hampir serupa, mereka gagal menterjemahkannya menjadi satu dasar. – 3 Mac, 2020.
Komen