Tony Pua: Larangan ke Sabah, jelas salah guna kuasa politik


Noel Achariam

Tony Pua tidak dibenarkan memasuki Sabah hari ini selepas dimaklumkan pegawai imigresen Sabah dan dihantar pulang ke Kuala Lumpur menaiki penerbangan jam 2 petang tadi. – Gambar Facebook, 28 April, 2017.

IA penyalahgunaan politik demi kepentingan Barisan Nasional (BN), kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua hari ini selepas tidak dibenarkan memasuki Sabah di mana beliau dijadualkan merasmikan beberapa projek komuniti DAP.

Pua menerusi posting di Facebook berkata kerajaan negeri Sabah memilih untuk menyalahgunakan kuasa imigresen mereka bagi menghalangnya daripada memberitahu perkara sebenar kepada rakyat negeri itu.

“Saya dihalau dari Sabah. Saya tiba untuk melancarkan beberapa projek air Impian Sabah yang sudah siap di Keningau, Tenom dan Pensiangan pada minggu ini.

“Petang pula ada forum Jelajah Skandal 1MDB Pedalaman Sabah.

“Jangan risau, saya akan masih bersama rakyat Sabah hari ini menerusi video malam nanti. Jumpa nanti.”

Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong berkata: “Anda tahulah kerajaan ini menyalahgunakan kuasanya. Walaupun kerajaan negeri berkuasa terhadap imigresen, di (Ketua Menteri Musa Aman) tidak boleh sewenang menggunakannya untuk menghalang sesiapa yang dia tidak suka seperti Tony Pua dan Teresa Kok.

“Mereka wakil rakyat yang dipilih secara demokrasi dan tidak buat salah,” katanya.

Wong berkata mereka bukan pengganas atau mengancam keselamatan Sabah hingga menyebabkan mereka dilarang memasuki negeri itu.

“Mereka melawat Sabah untuk menggunakan hak demokrasi yang dilindungi di bawah perlembagaan. Mungkin kerajaan BN takut kepada DAP dan orang seperti Pua dan Kok,” katanya.

Pua juga persona non grata di Sarawak, dan beliau mengetahui mengenai perkara itu pada September 2015.

Katanya, beliau dilarang memasuki Sarawak kerana pendedahan dibuatnya mengenai skandal 1MDB.

Sebelum ini, Pua turut dilarang ke luar negara sehinggalah sekatan itu ditarik balik selepas setahun. Namanya tersenarai dalam senarai tidak dibenarkan keluar negara pada Julai 2015. – 28 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen