Belia 18 tahun tidak dapat mengundi jika pilihan raya diadakan semula


Sheridan Mahavera

Kerajaan PH menurunkan usia mengundi kepada 18 tahun di samping memastikan mereka yang cukup umur secara automatik didaftarkan sebagai pengundi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mac, 2020.

MEREKA yang berumur 18 tahun tidak dapat mengundi jika pilihan raya semula diadakan tahun ini kerana sistem belum siap, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengundian untuk mereka yang berusia 18 tahun itu perlu datang dengan sistem pendaftaran pengundi automatik dan ia hanya dijangka siap pada pertengahan tahun depan, kata Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun.

“Inisiatif Undi-18 tahun mesti dijalankan selari dengan pendaftaran automatik pengundi. Kami masih membina sistem dan infrastrukturnya,” kata Azhar kepada The Malaysian Insight.

“Anggaran konservatif kami ialah ia akan siap pada pertengahan tahun depan. Tetapi kami berusaha keras untuk menyiapkannya lebih awal.”

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menurunkan usia mengundi kepada 18 tahun selama tempoh 22 bulan mentadbir sambil memastikan mereka yang cukup umur secara automatik didaftarkan sebagai pengundi.

Isu sama ada golongan 18 tahun yang boleh mengundi kini muncul selepas terdapat kemungkinan rakyat Malaysia perlu mengundi semula kurang dua tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018.

Ini kerana kerajaan baharu di bawah Muhyiddin Yassin mungkin tidak mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen di Dewan Rakyat yang mempunyai 222 kerusi.

Muhyiddin, yang merupakan anggota pentadbiran PH telah meninggalkan gabungan itu dengan 36 ahli Parlimen dan menyebabkan tumbang.

Beliau kemudian membentuk kerajaan dengan sokongan Umno, PAS, parti Sabah dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

PH mendakwa pada hujung minggu lalu, calonnya untuk jawatan perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, mendapat sokongan daripada 114 ahli Parlimen.

PH dijangka memfailkan gerakan tidak percaya pada sidang Parlimen yang dijadualkan paling awal pada 9 Mac untuk melihat pihak mana sebenarnya mempunyai kawalan dalam Dewan Rakyat.

Sekiranya Muhyiddin tidak dapat membuktikan beliau mempunyai majoriti di Dewan Rakyat, Yang di-Pertuan Agong mungkin melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri baharu atau membubarkan Parlimen untuk membolehkan pilihan raya diadakan semula.

Sekutu Muhyiddin di dalam PAS seperti Hashim Jasin sudah mendesak untuk mengadakan pilihan raya semula untuk menyelesaikan pertikaian gabungan mana mempunyai majoriti di Dewan Rakyat.

Azhar memberitahu The Malaysian Insight, suruhanjaya itu bersedia menjalankan satu lagi pilihan raya pada masa ini.

“Kami sentiasa bersedia untuk menangani sebarang kemungkinan. Ia langkah bijak untuk melakukannya. Di bawah Perlembagaan Persekutuan, kita perlu mengadakan pilihan raya dan mengumumkan keputusannya dalam tempoh 60 hari selepas Parlimen dibubarkan.”

Apabila ia berlaku, SPR akan bermesyuarat tidak kurang daripada empat hari dan tidak lebih tujuh hari untuk merancang operasinya dan menetapkan semua tarikh penting bagi pilihan raya.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata pengundian golong 18 tahun perlu disertakan dengan sistem pendaftaran pengundi automatik dan ia hanya dijangka siap pada pertengahan tahun depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mac, 2020.

“Mesyuarat ini adalah apabila kami akan mengeluarkan writ untuk pilihan raya, menetapkan tarikh pencalonan, mengundi, mengundi awal dan melantik semua pegawai pilihan raya.”

Sekiranya pilihan raya semula diadakan, SPR perlu membelanjakan antara RM750 juta hingga RM800 juta untuk menjalankannya dan melaksanakan semua penambahbaikan yang dibuat terhadap proses pengundian.

Ini termasuk membuka lebih banyak pusat mengundi dan saluran pengundian, dan untuk membina lebih banyak kemudahan untuk pengundi kurang upaya.

“Kami juga ingin menyediakan kerusi roda, perkhidmatan pengangkutan percuma dan saluran pengundian khusus untuk orang kurang upaya,” kata Azhar.

Pada PRU14, SPR membelanjakan RM500 juta untuk menjalankan pilihan raya dan termasuk melantik 259,443 kakitangan sementara pilihan raya termasuk 222 pegawai dan 29,054 ketua pusat mengundi.

Lebih 8,800 pusat mengundi dengan 29,054 saluran undian dibuka untuk membolehkan 14,950,624 pengundi membuang undi. – 3 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen