Loke kesal gagal selesai pampasan untuk waris MH370


Ravin Palanisamy

Bekas menteri pengangkutan Anthony Loke mengakui sudah menyiapkan kertas Kabinet mengenai pampasan kepada waris MH370 dan bersedia membentangkannya pada Rabu lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mac, 2020.

BEKAS menteri pengangkutan Anthony Loke berkata kegagalan memberikan pampasan kepada keluarga mangsa MH370 merupakan satu perkara paling dikesalinya.

Loke berkata sudah menyiapkan kertas Kabinet mengenai perkara itu dan bersedia untuk membentangkannya pada Rabu lepas.

“Tetapi saya tidak dapat membentangkan kertas itu kerana tiada mesyuarat Kabinet. Ia dibubarkan kerana perdana menteri meletak jawatan,” katanya kepada media pada acara penghargaan untuknya di kementerian, hari ini.

Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri pada Isnin, 24 Februari kerana rancangan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin untuk membentuk kerajaan baru dengan Umno, PAS dan memecat Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

“Itu paling saya kesali. Saya tidak dapat membentangkan kertas itu dan membuat keputusan mengenainya dalam Kabinet,” kata Loke.

Penerbangan Malaysia Airlines hilang dari skrin radar ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Terdapat 239 penumpang dan anak kapal.

Tahun ini akan genap enam tahun ia hilang dan pencarian menelan kos yang mahal di sekitar Lautan Hindi Selatan gagal menemuinya. Bagaimanapun, serpihan bangkai ditemui di pantai di bahagian barat Lautan Hindi.

Loke berkata beliau berharap bakal menteri pengangkutan kerajaan Muhyiddin akan meneruskan kertas Kabinet mengenai pampasan untuk keluarga mangsa.

Pada majlis penghargaannya, Loke mengucapkan terima kasih kepada kakitangan kementerian yang bekerja dengannya sejak 22 bulan lalu.

“Saya mendapat kerjasama yang hebat daripada semua orang di kementerian dan mereka membenarkan saya menjalankan tugas saya.

“Saya sudah melakukan yang terbaik dan berharap meninggalkan perkara baik dalam kementerian dan memberi kesan yang baik kepada rakyat Malaysia mengenai seorang menteri Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Beliau berkata akan memfokuskan tugasnya sebagai ahli Parlimen Seremban dan Adun Chennah. Loke juga merupakan setiausaha organisasi kebangsaan DAP dan ahli Majlis Presiden PH. – 2 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen