Siasatan awam Suhakam atas kehilangan pastor,isteri panggil jurucakap Caged


Noel Achariam

Suhakam hari ini menyambung siasatan awam bagi kes kehilangan Pastor Joshua Hilmy dan Ruth Sitepu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mac, 2020.

SEORANG saksi yang pernah tinggal bersama Pastor Joshua Hilmy and isterinya Ruth Sitepu dijangka akan memberi keterangan pada siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini.

Josiahnandan Emmanuel Peter, 25, akan menjadi saksi ketiga bagi siasatan mengenai pasangan suami isteri yang hilang pada 2016 itu.

Bapanya, Peter Pormannan adalah rakan kepada Joshua dan Ruth. Peter memberitahu The Malaysian Insight, anaknya dipanggil untuk memberi keterangan kerana pernah tinggal di rumah Joshua di Petaling Jaya.

“Dia tinggal di situ sebab lebih dekat dengan kolej, berbanding rumah kami di Klang.

“Dia dijangka akan beri keterangan mengenai pengalamannya tinggal bersama mereka,” kata Peter.

Pada 18 Februari lalu, Suhakam memulakan siasatan awam bagi menentukan sekiranya kehilangan Joshua dan isterinya Ruth adalah kes kehilangan paksa.

Joshua asalnya beragama Islam sebelum menganut Kristian.

Polis tidak mempunyai maklumat mengenai pasangan ini melainkan laporan mengenai kehilangan mereka pada 2017 yang dibuat oleh Peter. Peter akrab dengan Joshua dan Ruth sejak 2012.

Seorang lagi saksi yang dijangka dipanggil memberi keterangan adalah jurucakap Rakyat Bantah Kehilangan Paksa (Caged) Rama Ramanathan.

Caged berperanan penting dalam kes kehilangan Pastor Raymond Koh dan aktivis dari Perlis Amri Che Mat.

Siasatan awam Suhakam pada tahun lalu merumuskan kehilangan Koh dan Amri adalah kes kehilangan paksa.

Panel siasatan sebulat suara merumuskan mereka diculik anggota pasukan Cawangan Khas dalam operasi ala komando.

Amri, yang diculik pada 24 November 2016, berada dalam pengawasan polis atas penglibatannya dalam kegiatan Syiah. Koh pula hilang pada 13 Februari 2017. Satu laporan polis pernah dibuat terhadap Koh atas dakwaan terlibat dalam kegiatan murtad.

Caged terdiri daripada 48 kumpulan masyarakat sivil yang bermatlamat untuk mendapatkan bantuan antarabangsa untuk mendesak Putrajaya memberi jawapan kepada misteri kehilangan Koh, Amri, Joshua dan Ruth.

Seorang jurucakap bagi keluarga keluarga Ruth juga berkata sebuah kumpulan masyarakat sivil Indonesia, KontraS, akan memerhatikan perjalanan kes ini.

“KontraS adalah Suruhanjaya untuk Orang Hilang dan Mangsa Keganasan.

“Mereka dimaklumkan mengenai kes ini oleh peguam Indonesia yang mewakili keluarga Ruth dan mengikuti rapat kes ini.” – 2 Mac, 2020.

Berita penuh di sini.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen