PAKATAN Harapan merancang jelajah penerangan untuk menjelaskan kepada orang ramai apa yang berlaku di sebalik kejatuhan kerajaan, kata para pemimpinnya.
Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata Pakatan akan mengadakan pertemuan esok untuk merangka langkah seterusnya berikutan perubahan kerajaan kepada satu gabungan politik yang terdiri daripada Bersatu, Barisan Nasional dan PAS, dengan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri baharu.
“Kami akan mengadakan jelajah (dan) kita akan mengadakan ceramah. Untuk jelaskan semua ini, kami akan mendapatkan permit daripada polis,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Bekas menteri pertanian dan industri asas tani itu berkata jelajah itu akan bermula secepat mungkin.
“Kita boleh mula dengan yang besar, mungkin di bandar dan kemudian kita akan bergerak ke seluruh negara.
“Saya fikir perang belum berakhir. Saya rasa kita berada di landasan yang betul kerana mereka merompak kemenangan kita dan saya fikir kita perlu bergerak ke hadapan dengan semua saluran dalam perlembagaan,” katanya.
Ahli Parlimen Pulai juga berharap penyokong akan bersabar dan menunggu arahan yang jelas dari Pakatan dan tidak bertindak balas terhadap berita provokatif dan palsu.
“Saya agak risau bahawa kerajaan yang diketuai oleh Muhyiddin itu akan digambarkan sebagai ‘kerajaan Melayu-Islam’ dan Pakatan di sisi lain akan dicap sebagai gabungan yang diketuai oleh bukan Islam.”
Beliau berkata sentimen perkauman dan agama akan membahayakan negara.
Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata penggubal undang-undang Pakatan perlu kembali ke kawasan mereka untuk menjelaskan krisis politik kepada pengundi.
Ahli Parlimen Pakatan juga, katanya, mesti mengulangi pendirian mereka terhadap pembentukan kerajaan yang bergabung dengan “rejim kleptokratik Barisan Nasional”.
“Ini adalah fakta yang perlu disampaikan,” kata Shamsul.
“Jelajah ini akan menjelaskan kepada rakyat apa yang benar-benar berlaku dan penolakan kami terhadap percubaan untuk menjatuhkan kerajaan.”
Shamsul berkata pengundi yang memberi mandat kepada Pakatan untuk membentuk kerajaan berhak untuk mengetahui apa yang berlaku. – 1 Mac, 2020.
Komen