PRESIDEN PKR, Anwar Ibrahim menyuarakan rasa kesal atas kekecohan dan serangan terhadap beberapa pemimpin di ibu pejabat parti itu hari ini.
Anggota PKR petang ini menyerang naib presiden PKR Tian Chua, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Adun Seberang Jaya Dr Afif Bahardin kerana menyokong Azmin Ali.
Anwar berkata walaupun para pemimpin mempunyai pendapat yang berbeza, serangan itu memang tidak dijangkakan.
“Ia satu perkara yang dikesali, seolah-olah kita kehilangan hati nurani kita untuk berfikir dengan menyerang para pemimpin, walaupun mereka mempunyai pendapat yang berbeza, kita tidak boleh bertindak seperti itu,” kata Anwar pada majlis di rumahnya di Segambut.
Beliau menambah bahawa dirinya tidak akan berkompromi dengan mereka yang menggunakan kekerasan dan menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat perkara tersebut.
“Saya tidak mempunyai pilihan selain membiarkan polis menyiasat dan lembaga disiplin kami juga akan menelitinya,” katanya.
“Jika anda benar-benar ahli parti, anda mesti mempunyai prinsip dan disiplin,” katanya.
Tian Chua ditampar dan dilempar botol semasa beliau cuba memasuki kenderaannya selepas mesyuarat di ibu pejabat parti itu berakhir.
Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai anggota parti selepas kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Nik Ezanee Mohd Faisal mengesahkan penangkapan lelaki itu. – 1 Mac, 2020.
Komen