Ini bukan kerajaan yang kami undi, kata peserta himpunan


Ravin Palanisamy

Himpunan bantahan yang bermula pada pukul 6 petang itu dianjurkan oleh sebuah kumpulan yang menamakan dirinya Jawatankuasa Demonstrasi Selamatkan Malaysia. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 1 Mac, 2020.

KIRA-kira 200 orang berkumpul di kawasan luar pusar raya Sogo di Kuala Lumpur bagi menentang pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, walaupun mereka diberi amaran oleh polis untuk tidak mengadakannya.

Himpunan bantahan yang bermula pada pukul 6 petang itu dianjurkan oleh sebuah kumpulan yang menamakan dirinya Jawatankuasa Demonstrasi Selamatkan Malaysia.

Beberapa aktivis yang tampil di perhimpunan itu berkata mereka hadir sebagai warganegara Malaysia yang bertanggungjawab dan bukan sebagai sebahagian daripada mana-mana organisasi.

Marina Mahathir, seorang aktivis dan anak perempuan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad turut hadir di perhimpunan tersebut.

Beliau berkata kudeta kerajaan minggu lalu oleh beberapa ahli politik tertentu untuk membentuk kerajaan pintu belakang akan menyebabkan tertubuhnya kerajaan baharu yang terdiri daripada ahli politik yang mengamalkan rasuah.

“Orang ramai telah kehilangan hak untuk memilih kerajaan yang mereka mahukan.

“Sekarang kita ada kerajaan (baharu) yang terdiri daripada orang yang korup, pengkhianat, perompak dan banyak lagi… kita patut malu,” katanya.

Marina juga menggesa generasi muda untuk “meneruskan perjuangan”, sambil menambah bahawa beliau percaya Malaysia akan bangkit semula.

“Kita perlu terus berjuang dan membantah. Generasi muda perlu mengambil alih politik.

“Kami menyeru anda, anak-anak muda untuk mengambil alih. Lakukan dengan cara anda, lontarkan suara anda. Suarakannya dengan lantang.

“Saya hanya berdoa untuk yang terbaik, untuk kita semua, untuk semua Malaysia, untuk semua warga di Malaysia. Saya betul-betul yakin. Kita semua akan bangkit semula,” katanya dengan penuh semangat.

Amir Abd Hadi, yang mengetuai kumpulan penunjuk perasaan, berkata rakyat mesti terus menentang kerajaan yang mereka tidak undi.

Beliau juga turut mengulas mengenai aktivis peguam Fadiah Nadwa Fikri yang disiasat polis si bawah Akta Hasutan dan melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia berhubung protes yang sama di Dataran Merdeka malam tadi.

“Kami menolak kerajaan pintu belakang.

“Kami kecewa dengan pihak polis kerana mahu siasat Fadiah Nadwa Fikri di bawah Akta Hasutan.” katanya – 1 Mac, 2020.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen