Muhyiddin punca krisis dan saya kecewa juga dengan Anwar, kata Dr Mahathir


Chan Kok Leong

Dr Mahathir Mohamad mengulas sama ada krisis itu dimulakan oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim yang sepatutnya menggantikan beliau sebagai perdana menteri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 1 Mac, 2020.

MUHYIDDIN Yassin menjadi punca krisis politik yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH), kata Dr Mahathir Mohamad kepada pemimpin akar umbi PH hari ini.

Dalam pertemuan di pejabatnya di Putrajaya hari ini, beliau ditanya sama ada krisis itu dimulakan oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim yang sepatutnya menggantikan beliau sebagai perdana menteri.

“Anwar Ibrahim cuma alasan (untuk Muhyiddin).

“Saya pada awalnya dimaklumkan bawa Anwar akan meminta jawatan timbalan perdana menteri pada pertemuan itu,” kata Dr Mahathir.

“Sebab itu kami kecewa. Tetapi Anwar tidak membuat sebarang permintaan. Malah semua orang sokong saya.

“Jadi Muhyiddin perlu mencari alasan lain untuk krisis itu,” kata pemimpin berusia 94 tahun itu di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

“Apabila Muhyiddin tidak boleh mencari sebab krisis itu daripada Anwar, beliau membawa Bersatu keluar dari PH. Ini menyebabkan krisis kami.”

Bekas perdana menteri itu mendedahkan kepada pemimpin akar umbi tentang perkara yang berlaku sepanjang minggu lalu.

Beliau menjawab soala tentang perkara yang berlaku pada mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Februari dan sama ada Anwar menjadi punca krisis itu.

Pada 21 Februari lalu, Majlis Presiden PH bersetuju membenarkan Dr Mahathir memutuskan tarikh peralihan kuasa kepada Anwar.

Namun Dr Mahathir berkata beliau kecewa dengan Anwar apabila presiden PKR itu bersepakat dengan PKR, DAP dan Amanah – selepas Bersatu keluar PH – untuk menamakannya sekali lagi sebagai calon perdana menteri.

Langkah itu dibuat selepas PH menukar taktik menamakan Dr Mahathir sebagai calon apabila Muhyiddin menerima sokongan daripada Bersatu, Umno dan PAS.

Dr Mahathir berkata beliau meletak jawatan pada Isnin lalu untuk melihat sokongan terhadapnya dan mendapati mempunyai lebih banyak sokongan dari Anwar untuk menjadi perdana menteri.

“Saya kecewa dengan proses pemilihan apabila PH menamakan beliau berbanding saya.

“Jika PH menamakan saya, sudah ada 150 undi. Namun disebabkan beliau mahu jawatan itu juga, beliau gagal,” kata Dr Mahathir.  – 1 Mac, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen