Ahli grup WhatsApp juga disiasat, kata SKMM


Low Han Shaun Melati A. Jalil

SKMM hanya boleh menyiasat jika ada aduan berkaitan maklumat palsu yang tersebar dalam grup. - Gambar AFP, 28 April, 2017.

AHLI kumpulan dalam grup WhatsApp yang didapati menyebarkan berita palsu juga tertakluk untuk didakwa mengikut undang-undang ditetapkan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan akhbar hari ini berkata perbualan yang berlaku dalam mana-mana aplikasi mesej dianggap sebagai peribadi.

SKMM hanya boleh menyiasat jika ada aduan berkaitan maklumat palsu yang tersebar dalam grup.

“Perlu ditekankan siasatan dijalankan SKMM tidak akan membezakan antara pentadbir (admin) dan ahli kumpulan itu.

“Jika pentadbir atau mana-mana ahli dalam kumpulan itu didapati menyebarkan berita palsu, maka mereka boleh didakwa mengikut undang-undang,” kata kenyataan itu.

SKMM berkata sesiapa yang didapati menyebarkan berita palsu boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta SKMM 1998.

Bagaimanapun, katanya pentadbir mana-mana aplikasi mesej akan dipertanggungjawabkan berdasarkan empat perkara:

1) Jika pentadbir komen, minta, cadang atau berkomunikasi dengan cara lucah, tidak senonoh, palsu atau menyinggung dengan niat mengacau, mendera, mengancam atau mengganggu orang lain.

2) Jika pentadbir minta komen orang lain walaupun dia sendiri tidak membuat komen.

3) Jika pentadbir membantu mencetuskan kenyataan menghasut terhadap sesiapa di dalam grup itu untuk membuat ahli lain melakukan komen sama.

4) Jika pentadbir menghalang siasatan agensi penguatkuasaan terhadap komen berkenaan.

SKMM berkata mereka akan mempertimbangkan keperluan menyediakan garis panduan bagi penggunaan aplikasi mesej. – 28 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen