KIRA-KIRA 100 orang mula berkumpul di kompleks beli-belah Sogo di Kuala Lumpur bagi membantah pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.
Penunjuk perasaan mengabaikan amaran polis agar tidak terlibat dalam himpunan tersebut dan mereka membawa plakad mengecam kerajaan pintu belakang serta membantah Umno sebagai sebahagian kerajaan.
Awal hari ini, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata kawasan Jalan Tunku Abdul Rahman yang dirancang menjadi lokasi bantahan tidak diwartakan sebagai lokasi himpunan.
“Polis tidak menerima sebarang notis berhubung penganjuran himpunan dari mana-mana pertubuhan.
“Jika himpunan diteruskan, ia akan mencetuskan ketidakselesaan kepada orang awam,” katanya.
Himpunan itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Demonstrasti Selamatkan Malaysia yang mahu Parlimen dibubarkan dan pilihan raya baharu diadakan bagi menyelesaikan krisis politik yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.
“Kita meminta orang ramai untuk menyertai kami menyuarakan rasa tidak puas hati dan menjelaskan bahawa situasi yang berlaku sebagai tidak boleh diterima,” kata kumpulan itu.
Turut hadir pada himpunan itu bekas pengerusi Bersih Ambiga Sreenevasan dan aktivis Marina Mahathir.

Satu himpunan berlangsung di Dataran Merdeka malam tadi selepas Agong memberi perkenan kepada Muhyiddin menjadi perdana menteri baharu.
Muhyiddin akan membentuk kerajaan baharu bersama Umno dan PAS. – 1 Mac, 2020.

Komen