AGENDA menyelamatkan rakyat lebih penting daripada keputusan sama ada isu mengecualikan pemimpin yang menghadapi perbicaraan di mahkamah daripada jawatan Kabinet, kata PAS.
Presidennya Abdul Hadi Awang berkata isu itu tidak patut dibangkitkan sekarang kerana Pakatan Harapan juga pernah melepaskan pemimpinnya dari tuduhan mahkamah.
“Yang penting selamatkan negara terlebih dahulu ini yang penting dari kemelut krisis politik negara yang berlaku. PAS ambil kira semua.
“Kalau nak tuduh pemimpin yang ada terpalit dengan pelbagai masalah, pemimpin sebelah sana terpalit diberhentikan perbicaraan mahkamah dilepaskan begitu saja,” katanya kepada pemberita.
Biarpun tidak menamakan pemimpin tersebut, Abdul Hadi dipercayai merujuk kepada bekas menteri kewangan kerajaan Pakatan Harapan, Lim Guan Eng.
Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Lim daripada tuduhan rasuah pada September 2018 selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran kerajaan.
Lim dikaitkan dengan tuduhan kes pembelian sebuah lot banglo dan bersubahat dengan ahli perniagaan, Phang Li Koon.
Abdul Hadi membangkitkannya selepas ditanya pendirian PAS sama ada akan menyokong pemimpin yang berdepan dengan perbicaraan mahkamah untuk memegang jawatan dalam kabinet.
Beberapa pemimpin BN kini berdepan pelbagai tuduhan di mahkamah termasuk presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Ahli Parlimen BN merupakan antara penyokong Muhyiddin Yassin yang membolehkan presiden Bersatu itu dilantik menjadi perdana menteri kelapan.
Pelantikan itu menamatkan krisis politik yang berlangsung sejak lebih seminggu lalu.
Pada masa sama Hadi berkata agenda PAS ketika ini selepas menjadi kerajaan adalah mementingkan keadilan dan perpaduan rakyat.
Hadi juga berkata dasar PAS yang mengangkat politik sejahtera telah berjaya memupuk perpaduan dan kerjasama bukan saja dengan Umno namun parti lain yang berbilang bangsa dan kaum. – 1 Mac, 2020.
Komen