PAS enggan menyatakan pendirian sama ada akan menyokong Muhyiddin Yassin jika undi tidak percaya diusulkan ke atas perdana menteri baharu itu di Parlimen.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata usul undi tidak percaya itu hanya andaian dan tidak ada kesahihan setakat ini sekiranya ia akan diadakan di Parlimen.
“Itu satu andaian. Kita tak terima (jika ada undi tidak percaya) kita pegang pada prinsip yang memberi kepercayaan,”
“Tidak ada akan (undi tidak percaya) ini satu andaian sama macam saya tak tahu saya nak mati atau nak hidup bila,” katanya kepada pada sidang media hari ini.
Beliau ditanya mengenai gesaan Dr Mahathir Mohamad agar Dewan Rakyat segera bersidang untuk membuktikan Muhyiddin Yassin benar-benar mempunyai majoriti sokongan ahli Parlimen.
Dr Mahathir berkata ini kerana beliau yakin mempunyai majoriti sokongan 114 ahli Parlimen termasuk 92 daripada Pakatan Harapan.
Mengulas mengenai kenyataan Mursyidul Am PAS Hashim Jasin agar pilihan raya diadakan semula, Hadi berkata ia merupakan kenyataan lama sebelum Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan.
“Kenyataan itu sebelum baginda buat keputusan sekarang dah selesai,” kata Hadi yang berkata pelantikan Muhyiddin sebagai perdana meneri sudahpun memecahkan keraguan.
Hashim semalam berkata pilihan raya baharu perlu diadakan susulan pertikaian pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.
PAS serta BN menyatakan pendirian agar pilihan raya baharu diadakan selepas Yang di-Pertuan Agong menerima menghadap para Ahli Parlimen untuk menyatakan sokongan bagi memilih perdana menteri.
Perkembangan beberapa hari kemudiannya membawa kepada pelantikan Muhyiddin, yang mengangkat sumpah jawatan perdana menteri kelapan.
Terdahulu hari ini, perdana menteri ketujuh Dr Mahathir Mohamad mengumumkan beliau mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen tidak lagi dapat berunding dengan Yang di-Pertuan Agong. – 1 Mac, 2020.
Komen