Jokowi doa hubungan baik Indonesia-Malaysia terus diberkati


Presiden Indonesia Jokowi menyampaikan ucapan tahniah kepada Muhyiddin Yassin atas pelantikan sebagai perdana menteri kelapan menerusi laman Twitter hari ini. – Gambar EPA, 1 Mac, 2020.

PRESIDEN Indonesia Joko Widodo (Jokowi) menyampaikan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Malaysia kelapan Muhyiddin Yassin, dan turut mendoakan pelaksanaan tugas yang beramanah dan sukses, serta hubungan baik kedua- dua negara terus diberkati Tuhan.

Muhyiddin, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ucapan tahniah Jokowi itu disampaikan jurucakap Presiden Indonesia, Fadjroel Rachman, menerusi akaun twitter @fadjroel, hari ini.

“Presiden @jokowi mengucapkan selamat atas dilantiknya Perdana Menteri Malaysia @MuhyiddinYassin Insya Allah amanah & sukses. Semoga hubungan baik kedua negara serumpun Indonesia-Malaysia selalu diberkahiNYA ~ FR #Jubir #BungJubir @JubirPresidenRI @malaysiakini @bernamadotcom,” tweet Fadjroel.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di sini pada 10.33 pagi. – Bernama, 1 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen