GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) memutuskan untuk tidak menyokong Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri kerana tidak tetap pendirian, kata Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg.
“Beliau berubah pendirian. Pada mula kami menyokongnya,” kata Abang Johari yang juga presiden GPS di Bau hari ini.
Menurutnya beliau menyatakan sokongan GPS terhadap Dr Mahathir untuk terus memimpin negara kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada 23 Februari.
Dr Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu pada hari berikutannya, memetik penolakan rancangan partinya untuk bekerjasama dengan Umno dan PAS.
Beliau dilantik sebagai perdana menteri interim oleh Agong.
GPS membuat keputusan untuk menyokong Muhyiddin apabila Dr Mahathir tidak mahu menjadi perdana menteri dan PH berkata yang mereka akan menamakan Anwar Ibrahim.
Dr Mahathir kembali mahu menjadi PM seterusnya apabila dengan jelas bahawa Bersatu, Umno dan PAS akan kembali menyokong Muhyiddin untuk mendapatkan jawatan itu.
“Oleh kerana beliau tidak tetap pendirian, sebab itulah kami menyokong Muhyiddin,” katanya kepada pemberita di bazar sampan Serikin di Bau selepas melawat tapak imigrasi, kastam dan kuarantin (ICQ).
Abang Johari berkata kepentingan Sarawak tidak terjejas oleh pertukaran itu.
“Kepentingan kami lebih tinggi,” katanya.
Ditanya sama ada Muhyiddin menawarkan GPS lebih baik dari apa yang dilakukan Dr Mahathir, beliau memberitahu pemberita “saya akan beritahu anda nanti”. –1 Mac, 2020.
Komen