Speaker Dewan Rakyat akan hubungi PM


Speaker Mohamad Ariff Md Yusof mengulas mengenai status sidang Dewan Rakyat susulan pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri baharu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mac, 2020.

YANG Dipertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof berkata pihaknya akan berhubung dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengenai sama ada Dewan Rakyat akan bersidang mengikut jadual pada 9 Mac ini atau ditangguhkan.

Beliau akan menulis secara rasmi bagi menanyakan mengenai perkara itu esok.

“Esok saya akan tulis minta maklumat lanjut bila kita akan bersidang. Saya akan tulis kepada perdana menteri sebelum buat keputusan. 

“Tunggulah, saya pun tidak tahu kerana saya tidak memutuskan tarikh sidang Dewan Rakyat,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri di Istana Negara.

Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 dijadualkan bermula 9 Mac ini yang akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – Bernama, 1 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen