PENYOKONG PKR melepaskan geram terhadap pemimpin parti yang menyokong bekas timbalan presiden Azmin Ali selepas parti itu hilang kuasa di Putrajaya.
Mereka meluahkan kemarahan itu terhadap Naib Presiden PKR Tian Chua kerana dilihat cenderung ke arah Azmin.
Tian dilempar dengan laungang ‘pengkhianat’ oleh penyokong PKR ketika beliau cuba memasuki keretanya.
Seorang lelaki turut dilihat menampar Tian dalam kejadian itu selain dibaling botol air ketika sedang masuk dalam keretanya.
The Malaysian Insight difahamkan PKR mengadakan satu mesyuarat di ibu pejabatnya tengah hari tadi dan berakhir tidak lama kemudian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya Dr Afif Bahardin yang rapat dengan kem Azmin, turut diganggu dan diejek ketika beliau cuba meninggalkan ibu pejabat parti.
Ketika dihubungi The Malaysian Insight, Tian berkata beliau memahami kemarahan segelintir penyokong PKR itu.
Walaupun dikasari dalam kejadian itu, Tian tetap menyuarakan kesetiaannya terhadap parti.
“Saya hadir mesyuarat MPP tadi. Apa yang jadi tadi perkara kecil. Saya faham ada segelintir yang marah.
“Apa pun, kita mula semula. Akhirnya ia bukan mengenai mana-mana individu tetapi parti.
“Saya setia dengan PKR,” katanya.
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil mengecam tindakan biadap penyokong tersebut dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mereka kerana melanggar undang-undang.
“Pada masa yang sama saya meminta lembaga disiplin parti untuk menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap ahli yang terlibat,” katanya menerusi media sosial. – 1 Mac, 2020.
Komen