MURSYIDUL Am PAS Hashim Jasin berkata pilihan raya baharu perlu diadakan susulan pertikaian pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.
Laporan media memetik kenyataannya sebagai berkata pengundi perlu menjadi penentu selepas jumlah ahli Parlimen yang menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri menjadi pertikaian.
“Kita berharap biar rakyat yang menentukan bagi menyelesaikan sebarang krisis politik yang mungkin tercetus,” katanya seperti dilaporkan Malay Mail.
Hashim berkata beliau akan membangkitkan perkara itu di ibu pejabat PAS hari ini.
Muhyiddin mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong pagi ini selepas terlibat dalam gerakan politik bersama Bersatu, Umno, PAS dan kem bekas PKR diketuai Azmin Ali untuk membentuk kerajaan baharu.
Agong semalam bertitah bahawa Muhyiddin memiliki sokongan ahli Parlimen paling ramai untuk menjadi perdana menteri.
Namun Dr Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan mempertikaikan jumlah sokongan itu dengan mendakwa enam ahli Parlimen Bersatu sudah beralih sokongan.
Pakatan Harapan turut menggesa sidang Dewan Rakyat diadakan pada 9 Mac depan untuk mengemukakan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin. – 1 Mac, 2020.
Komen