PAS meminta semua rakyat Malaysia menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan melantik Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.
Menerusi satu kenyataan, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata rakyat juga perlu memperkukuhkan muafakat dan perpaduan kaum yang menjadi tonggak kepada kemakmuran negara.
“PAS juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Muhyiddin di atas pelantikan ini dan mendoakan agar sentiasa dikurniakan taufik dan hidayah-Nya bagi melaksanakan tanggungjawab yang amat berat ini,” demikian menurut kenyataan itu.
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan telah membawa fajar baharu kepada Malaysia dan rakyatnya.
Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) juga berkata menerusi pelantikan itu, Ahli Parlimen Pagoh berkenaan akan menghadapi tugas berat dalam mengembalikan negara ke landasan kemajuan yang diperlukan.
Timbalan Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan Eddin Syazlee Shith pula berkata Bersatu negeri bersyukur dan menyokong penuh pelantikan Muhyiddin dan menyifatkan ia sebagai satu kelebihan kepada parti.
Ahli Majlis Tertinggi Umno yang juga Ahli Parlimen Jelebu Jalaluddin Alias berharap pengumuman itu diterima baik oleh semua pihak manakala Pengerusi MIC Negeri Sembilan, Datuk M Veloo berkata pengalaman yang dimiliki Muhyiddin diharap dapat membantu membangunkan semula negara.
Bagi Pengerusi MCA Negeri Sembilan Siow Koi Voon, beliau menyifatkan pemilihan Muhyiddin itu tepat memandangkan karakter dan kewibawaan kepimpinan yang dimilikinya.
“Di samping itu, beliau juga seorang yang pentingkan hubungan antara kaum dan saya berharap beliau akan memulihkan perpaduan kaum supaya lebih erat,” katanya.
Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Rafiei Mustapha berkata PAS menyokong pelantikan itu dan ini merupakan antara perjuangan yang dilakukan oleh PAS pusat dalam menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.
Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin dalam kenyataan pula berharap Malaysia akan kembali maju dan berjaya di bawah kepimpinan Ahli Parlimen Pagoh itu.
“Sebagai pemimpin yang berasal dari Johor, pelantikan beliau bukan sahaja memberi kebanggaan kepada saya dan seluruh rakyat Johor. Malah menamatkan kemelut perebutan kuasa yang menggusarkan kita semua,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang dan bekas Menteri Besar Johor.
Dalam satu kenyataan berasingan, Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kepong Dr Sahruddin Jamal percaya pelantikan yang diperkenan Al-Sultan Abdullah itu merupakan keputusan yang baik untuk negara dan rakyat.
“Saya turut dengan kepimpinan dan ketokohan (Tan Sri) Muhyiddin untuk memacu pembangunan demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat di negara ini sebagai Perdana Menteri,” kata Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Pagoh itu.
Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria menerusi catatan yang dimuat naik di Facebook PAS Perak, berharap kerajaan negeri yang kukuh dapat dibentuk melalui gabungan Muafakat Nasional dan parti-parti yang bekerjasama sebagaimana di peringkat Persekutuan.
Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semanggol turut merakamkan tahniah kepada Muhyiddin di atas perlantikan sebagai Perdana Menteri yang kelapan.
“Semoga dipermudah segala urusan Tan Sri memimpin Malaysia Sejahtera serta diberkati dan dirahmati Allah SWT,” katanya dalam satu catatan yang dimuat naik di laman Facebook PAS Perak.
Dalam pada itu, Presiden MIC Tan Sri S.A Vigneswaran menzahirkan sokongan penuh parti berkenaan yang mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berharap agar perubahan menerusi lantikan itu akan menjadi inspirasi untuk mengembalikan negara sebagai negara maju dan menyeru seluruh masyarakat untuk menjaga keharmonian dan ketenteraman tanah air.
“Kita harapkan negara kita akan dapat disusun semua dari segi ekonomi negara, perpaduan dan di waktu yang sama kita mengharapkan parti-parti politik sama ada yang menyokong atau menentang kembali kepada tanggungjawab dan tugas masing-masing dengan saling hormat-menghormati dan mendukung bersama kerajaan yang ada,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Naib Presiden Gerakan yang juga Ketua Pemudanya Ooi Zhi Yi berkata perdana menteri baharu perlu bertanggungjawab menyelesaikan krisis ekonomi semasa dan menangani isu Covid-19 dengan melantik satu barisan kabinet baharu secepat mungkin
Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis yang juga Pengerusi Barisan Nasional Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim menerusi laman Facebook miliknya turut mengucapkan tahniah kepada Muhyiddin atas pelantikannya sebagai perdana menteri kelapan. – Bernama, 29 Februari, 2020.
Komen