Lebih 100 orang sertai bantahan di Dataran Merdeka


Ravin Palanisamy

Sebahagian penunjuk perasaan yang berkumpul di Dataran Merdeka bagi membantah krisis politik yang berakhir dengan pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri kelapan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 29 Februari, 2020.

Lebih 100 orang berkumpul di Dataran Merdeka sejak pukul 8.30 malam tadi untuk membantah krisis politik yang menyaksikan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri baharu awal hari ini, sekali gus membuka ruang kepada Umno menjadi kerajaan.

Bantahan itu dipercayai tidak dianjurkan mana-mana pihak dan bermula menerusi mesej yang tular dalam aplikasi WhatsApp.

Mesej itu berbunyi, “Satu bantahan akan diadakan pukul 8.30 malam ini di Dataran Merdeka.

“Mereka yang marah dengan pengkhianatan ini, mari berkumpul di Dataran Merdeka pukul 8.30 malam ini. Jumpa anda di sana.”

Turut dilihat hadir ke dataran itu adalah cucu Dr Mahathir Mohamad, Ineza Roussille yang merupakan pengarah filem yang baru-baru ini terlibat dalam projek dokumentari ‘M for Malaysia’.

Dokumentari itu mengisahkan perjuangan datuknya bersama Pakatan Harapan untuk menumbangkan Barisan Nasional pada pilihan raya umum 2018.

Petang tadi, Istana Negara mengumumkan Muhyiddin sebagai perdana menteri kelapan selepas mempunyai sokongan ahli Parlimen paling ramai.

Ahli Parlimen Pagoh itu dijadualkan mengangkat sumpah di istana pukul 10.30 pagi esok. – 29 Februari, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen