Melaka dijangka ikut Putrajaya, kata exco Bersatu


Diyana Ibrahim

Bersatu Melaka mungkin mengikut jejak Putrajaya membentuk kerajaan bersama Umno dan PAS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Februari, 2020.

MELAKA mungkin akan bertukar kerajaan susulan pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri kelapan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Paya Rumput Mohd Rafiq Naizamohideen dari Bersatu.

Beliau yang anggota exco negeri berkata Melaka akan membentuk kerajaan bersama Umno dan PAS ditambah dengan Adun Rembia Muhammad Jailani Khamis yang akan keluar dari PKR menyertai Bersatu.

Katanya, langkah itu sejajar dengan perubahan kuasa di peringkat pusat.

“Jadi termasuk Rembia, kita ada 3 kerusi Bersatu dan akan kerjasama dengan 13 Adun Umno atau BN untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional,” katanya kepada media di luar kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara.

Katanya, gabungan baharu itu mempunyai majoriti mudah dengan 16 Adun, yang membolehkan pertukaran kerajaan di Melaka.

“Kalau nak dapat simple majoriti kita perlu 15, sekarang kita ada 16, dan InsyaAllah kita ada  16 dan 12 di pihak PH,” katanya.

Dewan Undangan Melaka mempunyai 28 kerusi. DAP mempunyai lapan kerusi, Amanah (2) dan Bersatu (2) dan PKR (3).

BN mempunyai 13 kerusi.

Beliau berkata akan berjumpa Yang Di Pertuan Negeri secepat mungkin bagi pertukaran blok parti itu.

“Insyallah saya dan pimpinan BN Melaka akan menghadap TYT untuk menubuhkan kerajaan gabungan baru antara Bersatu dan BN Melaka

“Kita masih menunggu tarikh dari TYT, insyallah dlm masa sehari dua ini,” katanya. – 29 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen