KETUA Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata, sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai perdana menteri adalah bergantung kepada janji mereka untuk menjaga kepentingan Sarawak.
Beliau berkata Sarawak tidak akan menyokong “pemimpin yang berubah-ubah pendirian” dan tidak akan bekerjasama dengan DAP.
“Saya memberi jaminan bahawa apa jua keputusan yang kita pemimpin dalam GPS buat, kita akan pertahankan hak dan kepentingan Sarawak terlebih dahulu,” kata ketua menteri pada pelancaran zon GPS Belaga dan Murum hari ini.
“Kami jaga tempat kami terlebih dahulu.
“Jika mereka minta bantuan kami, kami akan bantu tetapi mereka mesti tahu apa yang kami mahu sebagai balasan.
“Sekiranya bantuan itu tidak dikotakan, kami tidak akan bantu.
“Mereka tidak bernilai kepada kami.”
Abang Johari berkata keputusan mereka juga adalah untuk memulihkan keamanan dan kestabilan negara secepat mungkin.
“Kepentingan negara juga menjadi keutamaan.”
GPS adalah gabungan parti empat Sarawak yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Terdahulu, ketua menteri itu menjelaskan mengapa empat parti itu meninggalkan Barisan Nasional pada akhir Pilihan Raya Umum Ke-14 untuk meneruskan perjuangan demi mempertahankan dan mengembalikan hak-hak yang kini semakin terhakis.
Beliau berkata sebagai balasan sokongan partinya, perdana menteri harus “memenuhi apa yang telah dipersetujui” dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dan lebih banyak autonomi untuk pentadbiran negeri itu.
“Sekiranya anda mahukan sokongan kami, anda perlu membayar cukai terlebih dahulu,” katanya merujuk kepada penolakan syarikat petroleum kebangsaan Petronas untuk membayar cukai jualan negeri ke atas produk petroleum.
Petronas bagaimanapun mencabar permintaan itu di mahkamah.
Abang Johari berkata apabila empat parti meninggalkan parti Barisan Nasional yang kalah selepas pilihan raya umum 2018, “Orang bertanya kepada kami mengapa kami meninggalkan BN”.
“Kenapa tubuh GPS?”
Beliau berkata walaupun ada yang melihat kepada GPS dan menanyakan apa yang mereka boleh lakukan tanpa bantuan daripada kerajaan persekutuan.
“Hari ini saya beri anda jawapan.
“Sekarang anda tahu nilai GPS. Mereka semua berebut antara satu sama lain untuk dapatkan sokongan kami. “
Mengenai DAP, Abang Johari berkata GPS akan menjadi “bodoh jika menyokong parti itu” kerana ia pernah menuduh GPS tidak mampu mentadbir Sarawak, kerajaan negeri akan bangkrap dalam masa tiga tahun selain objektif mereka untuk memenangi negeri itu pada pilihan raya negeri akan datang.
Merujuk kepada DAP Sarawak dan ketua Pakatan Harapan Sarawak Chong Chieng Jen awal hari ini bahawa DAP negeri bersedia untuk membuat konsesi dan “mengetepikan semua perbezaan” untuk bekerjasama dengan GPS “demi kepentingan negara”, Abang Johari berkata mereka harus berhati-hati dan perlu menelitinya dengan baik.
Chong membuat tawaran itu untuk mendapatkan balasan sokongan GPS terhadap Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri yang akan datang.
“Ada satu parti yang memerlukan bantuan kami (tetapi) mereka mengatakan bahawa Sarawak akan muflis,” merujuk dakwaan Setiausaha Agung DAP Lim Guang Eng pada bulan Jun tahun lalu bahawa negeri itu akan muflis dalam masa tiga tahun.
Lim berkata dengan belanjawan tahunan negeri sebanyak RM11 bilion, rizab Sarawak RM30 bilion akan habis dalam tempoh tiga tahun.
“Bodohlah kami menyokong parti seperti itu,” katanya. – 29 Februari, 2020.
Komen