Dengan GPS, Perikatan dakwa cukup angka sokongan


Chan Kok Leong

Pemimpin parti dari Umno, PAS, GPS, Star dan PBRS telah berkumpul di rumah Muhyiddin pagi sebelum mereka pergi ke Istana Negara untuk mengadap Yang Di Pertuan Agong. Star dan PBRS adalah parti pembangkang Sabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Februari, 2020.

PERIKATAN Nasional mendakwa ia mempunyai sokongan mencukupi untuk Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri ke-8, berdasarkan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS), kata sumber Bersatu kepada The Malaysian Insight.

Perikatan Nasional adalah nama yang dihebahkan untuk gabungan Bersatu, Barisan Nasional, dan PAS, yang juga disertai ahli Parlimen yang bersama Mohamed Azmin Ali. 11 ahli Parlimen bekas PKR itu semalam dilaporkan menyertai Bersatu.

“Wakil mereka (GPS) pergi (ke istana) untuk mengatakan bahawa mereka menyokong (Muhyiddin),” kata sumber itu.

Pemimpin parti dari Umno, PAS, GPS, Star dan PBRS telah berkumpul di rumah Muhyiddin pagi sebelum mereka pergi ke Istana Negara untuk mengadap Yang Di Pertuan Agong. Star dan PBRS adalah parti pembangkang Sabah.

Mewakili GPS dalam kumpulan Muhyiddin hari ini adalah Fadillah Yusof.

Kumpulan itu, bagaimanapun, perlu kembali ke istana esok kerana Agong sedang menunggu kenyataan rasmi GPS.

Selepas meninggalkan istana sebelum ini, setiausaha agung PAS Takiyuddin Hassan memberitahu pemberita bahawa kumpulan itu akan “kembali esok”.

Sumber itu mengatakan bahawa ini adalah kerana Agong mahukan kenyataan rasmi dari GPS, yang hanya menghantar Fadillah sebagai wakilnya ke istana hari ini.

Walau bagaimanapun, sumber Bersatu yakin bahawa Muhyiddin mempunyai bilangan yang mencukupi.

“Dan kami menyerahkan angka sokongan kepada Yang Di-Pertuan Agong di Istana Negara sekarang.”

Semalam, GPS, yang mempunyai 18 Ahli Parlimen, berkata ia akan mengumumkan keputusannya esok.

Sokongan GPS untuk Muhyiddin tidak dipertimbangkan dalam pertemuan hari ini kerana Agong sedang menunggu kenyataan rasmi parti itu.

Berikutan perkembangan pagi ini - dan tanpa pemfaktoran GPS lagi - Muhyiddin mempunyai sokongan untuk menjadi perdana menteri dari 96 Ahli Parlimen.

Ini berdasarkan 34 daripada Bersatu, Barisan Nasional 42, PAS 18, PBRS 1 dan Star 1.

Bersatu turun kepada 34 selepas Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Pemuda Syed Saddiq menafikan menandatangani akuan berkanun sebagai sokongan kepada Muhyiddin awal pagi ini.

Dengan GPS, Muhyiddin akan mendapat sokongan dari 114 Ahli Parlimen.

Pagi ini, Dr Mahathir mengumumkan dirinya dengan Pakatan Harapan lagi, dan mengulangi penolakannya untuk bekerjasama dengan Umno. Sementara itu, Pakatan mengeluarkan satu kenyataan pagi ini untuk menyatakan bahawa parti-parti itu menyokong Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

Dengan Dr Mahathir dan Syed Saddiq, ini menjadikan angka di pihak Pakatan sebanyak 94. – 29 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen