SELEPAS bertemu dengan pemimpin parti politik daripada Perikatan Nasional, Yang Di Pertuan Agong kini menerima kehadiran pimpinan Pakatan Harapan daripada DAP dan Amanah.
Kenderaan yang membawa Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Naib Presiden Amanah Dr Mujahid Yusof Rawa dan pengarah strategi Dr Dzulkefly Ahmad dilihat memasuki Pintu 2 Istana Negara pada 11.47 pagi.
Terdahulu, pada jam 11.30 pagi, Presiden Amanah, Mohamed Sabu baru sahaja meninggalkan istana.
Yang Di Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memanggil para pemimpin parti untuk memberikan calon perdana menteri mereka, selepas pertemuan peribadi dengan semua ahli Parlimen tidak berjaya mengemukakan calon perdana menteri secara majoriti.
Dalam tempoh 24 jam lalu, persekutuan politik telah beralih, pertama pertembungan Muhyiddin Yassin dan Anwar Ibrahim, dan kemudian Muhyiddin melawan Dr Mahathir Mohamad pada pagi ini.
Sehingga hari ini, Muhyiddin yakin dengan sokongan 97 ahli Parlimen yang diperolehinya.
Ia terdiri dari 36 ahli Parlimen Bersatu, termasuk bekas ahli parlimen PKR di dalam pasukan Mohamed Azmin Ali, 39 daripada Umno, 18 daripada PAS, dua dari MCA, satu daripada MIC dan PBRS.
Namun Bersatu kini berpecah sokongannya terhadap Muhyiddin sebagai perdana menteri.
Dalam keadaan mengejutkan, Pengerusi Bersatu Dr Mahathir berkata beliau sekali lagi mempunyai nombor sokongan mencukupi untuk menjadi PM selepas pertemuan dengan pemimpin Pakatan Harapan yang kini memberi sokongan mereka kepada beliau.
Dr Mahathir berkata beliau tidak pernah menandatangani sebarang sumpah berkanun yang menyokong Muhyiddin sebagai calon PM.
Pada masa yang sama, Pakatan juga mengeluarkan kenyataan pagi ini bahawa ia sekali lagi menyokong Dr Mahathir.
Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Abdul Rahman juga berkata beliau tidak pernah menandatangani sebarang akuan berkanun yang menyokong Muhyiddin, dan memberikan sokongan kepada Dr Mahathir sebagai perdana menteri.
Sementara itu, presiden PKR, Anwar Ibrahim, mempunyai sokongan 93 Ahli Parlimen, yang kesemua mereka dari Pakatan.
Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang mempunyai 18 Ahli Parlimen, mengumumkan pendiriannya hari ini, manakala sembilan Ahli Parlimen Parti Warisan Sabah dan Upko yang sebelum ini menyokong kerajaan PH namun belum menjelaskan perkembangan terbaharu itu. – 29 Februari, 2020.
Komen