APABILA pendapatan meningkat dan ia akan diikuti dengan perbelanjaan, kata ahli ekonomi untuk menjelaskan bagaimana kuasa beli semakin mengecil walaupun kerajaan dengan bangga mengatakan jurang antara rakyat Malaysia golongan terkaya dan paling miskin mengecil sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Perdana Menteri Najib Razak berkata dalam Bajet 2018 yang pekali Gini negara, kaedah bagi mengukur pengagihan pendapatan di kalangan isi rumah, bertambah dari 0.441 pada 2009 apabila beliau mengambil alih kuasa kepada 0.399 pada 2016.
Bagaimanapun, kenaikan harga makanan dan perkhidmatan disebabkan gabungan nilai ringgit, inflasi dan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada 2014, melemahkan kuasa beli sebenar isi rumah sebenar, kata para ahli ekonomi.
“(Kenaikan harga) menyebabkan pengguna terpaksa mengeluarkan lebih banyak wang. Gaya hidup dan corak penggunaan pengguna juga boleh mempengaruhi kos sara hidup,” kata ahli ekonomi Lee Heng Guie daripada Pusat Penyelidikan Sosioekonomi (SERC).
Walaupun pendapatan bagi B40 iaitu golongan isi rumah yang berpendapatan purata bulanan di bawah RM3,860 naik, kenaikan ini sebahagiannya disebabkan kenaikan upah mereka, kata ahli ekonomi lain Dr Lee Hwok Aun.
Kadar upah minimum RM1,000 sebulan membantu meningkatkan gaji tetapi pendapatan isi rumah secara keseluruhannya meningkat daripada sumber lain, kata Hwok Aun yang juga felo kanan di Institut Pengajian Asia Tenggara Singapura.
“Bahagian upah dan gaji dalam pendapatan isi rumah kasar telah menurun, sementara bahagian pendapatan harta dan pelaburan serta pemindahan meningkat,” kata Hwok Aun.
Upah mengekori inflasi
Upah median bagi rakyat Malaysia hanya naik sebanyak 3% antara 2015 dan 2016, menurut Laporan Jabatan Statistik Gaji dan Upah 2016.
Upah median diklasifikasikan sebagai “wage in the middle”, yang bermaksud separuh daripada rakyat Malaysia sama ada mendapat upah di atas atau di bawah tahap ini.
Median yang bertentangan dengan upah purata dianggap sebagai ukuran lebih tepat mengenai jumlah pendapatan penduduk.
Menurut data kerajaan, pada 2016 upah median adalah RM2,000 sebulan, naik 3% daripada RM1,942 pada 2015.
Memandangkan kadar inflasi 2.1% pada 2016, kadar upah sebenar pada 2015-2016 mungkin hanya meningkat sebanyak 0.9% kepada RM1,959, atau RM17 sebulan.
Laporan DOS juga menunjukkan upah pekerja asing meningkat sebanyak 3.3%. Kaum India di Malaysia pula mengalami pertumbuhan upah negatif sebanyak 1% apabila diselaraskan kepada inflasi manakala pertumbuhan upah bagi pekerja Cina Malaysia adalah 0.1%.
Upah bagi mereka yang mempunyai kelayakan pendidikan rendah berkembang pada kadar lebih tinggi berbanding upah pekerja yang lebih berpendidikan.
Sementara indeks harga pengguna (CPI), pengukur inflasi, naik 4.3% pada September lalu berbanding tahun lepas. CPI Malaysia mencecah 5.1% pada Mac, sejak lapan tahun lalu.
“(Pertumbuhan upah) tidak mampu menyaingi inflasi dan menjelaskan perbezaan antara gaji dan kos sara hidup,” kata penganalisis dasar kanan di Pusat Pengajian Dasar Awam (CPPS), Jarren Tam.
“Berdasarkan ini, kerajaan memilih menggunakan dasar-dasar yang memihak kepada pemilik modal untuk menggalakkan aktiviti perniagaan dan ekonomi, namun ia membebankan input pertumbuhan ekonomi yang lain: tenaga buruh,” katanya.
Fokus kepada pekerja, bukannya majikan
Majlis Perundingan Gaji Negara (MGPN) mengumumkan bulan lepas ia akan mengkaji kadar gaji minimum bagi tahun depan. Kadar terakhir dinaikkan di Semenanjung Malaysia pada Julai tahun lepas, dari RM900 kepada RM1,000.
Para pengkritik mengatakan peningkatan itu terlalu kecil dan tidak menangani pertumbuhan gaji yang lembap di kalangan pekerja berpendidikan tinggi.
Perbezaan dalam pendapatan juga jelas dalam simpanan persaraan.
The Edge, yang memetik data daripada laporan tahunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), berkata 0.4% pencarum mempunyai lebih banyak kekayaan berbanding 51.9% daripada ahlinya.
Sebanyak 28,727 ahli KWSP mempunyai simpanan berjumlah RM47.2 bilion.
Sebagai perbandingan, 3.6 juta pencarum lain secara kolektif memiliki dana berjumlah RM43.9 bilion.
Data KWSP juga menunjukkan dua pertiga daripada ahlinya berusia 54 tahun mempunyai kurang daripada RM50,000 dalam akaun KWSP manakala dua dalam setiap 10 orang mempunyai kurang daripada RM8,000.
“Untuk mencapai keseimbangan yang lebih baik, polisi harus disasarkan untuk menaikkan gaji dan meningkatkan imbuhan pekerja,” kata Tan.
“Ini termasuk menaikkan upah minimum bagi memberi tekanan ke atas gaji median dan menggalakkan tanggungjawab kewangan di kalangan rakyat menerusi program pendidikan kewangan,” katanya.
Kenaikan kos hidup juga boleh dikurangkan dengan kesedaran pengguna dan maklumat pasaran yang lebih telus, tambah Tan.
Penyelidik dan pakar ekonomi bebas Dr Andrew Aeria berkata: “Kerajaan kita tidak berminat untuk memastikan kenaikan upah seiring dengan peningkatan kos.”
“Sebaliknya, dasar kerajaan yang membolehkan pekerja asing banyak dibuat untuk menekan upah pekerja tempatan dan menolong para peniaga mendapatkan keuntungan luar biasa yang besar.
“Tenaga kerja tempatan kemudiannya terpaksa menerima upah lebih rendah atau menganggur kerana perniagaan boleh mengupah pekerja asing dengan mudah.”
Bagaimanapun, Heng Guie daripada SERC berkata kenaikan gaji yang tidak dipadankan dengan peningkatan produktiviti akhirnya akan menjejaskan pengguna.
“Ini berlaku apabila perniagaan tidak dapat menyerap kos buruh yang lebih tinggi dan kos pengeluaran unit yang lebih rendah. Peningkatan kos itu dilanjutkan kepada pengguna dalam bentuk harga lebih tinggi,” kata Heng Guie.
“Selain membayar upah yang sesuai untuk memberi ganjaran peningkatan produktiviti, kerajaan mesti terus melaksanakan dasar baik yang dapat mengurangkan kos keperluan asas seperti makanan, pengangkutan, penjagaan kesihatan dan perumahan.
“Perniagaan digalakkan mengekalkan kos keperluan harian dan barangan runcit yang berpatutan.”
Pakar ekonomi dan Pengerusi CPPS, Ramon Navaratnam juga menggesa upah dinaikkan, tetapi hanya untuk mereka yang menunjukkan produktiviti lebih tinggi.
“Ia memberi ganjaran kepada mereka yang bekerja keras dan menggalakkan orang lain supaya lebih produktif,” katanya. – 11 November, 2017.
Komen