Adun DAP Pulau Pinang desak hadkan tempoh khidmat ketua menteri


Looi Sue-Chern

Adun Tanjung Bungah Teh Yee Cheu sekali lagi mengulangi desakannya supaya DUN Pulau Pinang mengehadkan tempoh perkhidmatan ketua menteri kepada dua penggal. – Gambar The Malaysian Insight, 10 November, 2017.

ADUN Tanjung Bungah Teh Yee Cheu sekali lagi mengulangi desakannya supaya dewan undangan negeri (DUN) Pulau Pinang mengehadkan tempoh perkhidmatan ketua menteri kepada dua penggal.

Wakil rakyat DAP selama dua penggal membuat desakan itu beberapa kali dalam persidangan DUN sejak penggal lalu, walaupun cadangannya tidak pernah dilanjutkan dan menyebabkan beliau dikritik rakan dalam parti.

Teh berkata had tempoh khidmat ketua menteri bagus untuk perubahan dewan, yang kini sudah melanjutkan waktu soal jawab kepada sejam setengah setiap hari.

“Pakatan Harapan (PH) di peringkat nasional sudah berjanji ia akan mengehadkan tempoh khidmat perdana menteri kepada dua penggal jika pembangkang berjaya ke Putrajaya pada PRU14.

“Ini diumumkan Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad dan disokong pemimpin PH lain. Ada kemungkinan perlembagaan dipinda untuk merealisasikan janji itu.

“Ia juga selaras dengan apa yang saya minta, supaya khidmat perdana menteri, ketua menteri dan menteri besar patut had untuk dua penggal,” katanya ketika membahaskan Bajet 2018 negeri malam ini.

Teh berkata jumlah khidmat pemimpin yang terhad akan membantu mengurangkan salah guna kuasa dan rasuah, mendesak PH Pulau Pinang supaya tidak terlepas “peluang keemasan” untuk melaksanakannya.

Katanya, pentadbiran sekarang perlu menambah perubahan itu dalam legasinya di Pulau Pinang, satu langkah yang boleh merangsang keyakinan rakyat terhadap PH.

“Mari kita tunjukkan yang kita tunaikan janji,” katanya. – 10 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen