SELEPAS dua tahun keluar masuk rumah keluarga angkat, Amirul dan Amizan masing-masing berusia sembilan dan 10 tahun akhirnya dapat membuka buku baharu kehidupan mereka, atas bantuan Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi.
Aktivis hak asasi kanak-kanak Dr Hartini Zainudin yang menulis surat kepada The Malaysian Insight berkata ibu bapa angkat kanak-kanak itu yang juga mualaf berketurunan Amerika-Mexico kini dapat membawa mereka pulang ke Amerika Syarikat (AS) untuk dijadikan anak angkat.
Dua kanak-kanak itu berdepan kesukaran apabila permohonan pengambilan mereka sebagai anak angkat ditangguhkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selama dua tahun kerana isu undang-undang.
Pasangan Amerika-Mexico itu pada masa sama berusaha untuk membawa mereka ke Texas, AS dan menjadikan mereka anak angkat secara rasmi di sana. Ketika itulah bantuan Zahid amat diperlukan.
“Beliau (Zahid) sangat baik, tanya kami mengenai kes itu. Kami menjelaskan ini satu-satunya cara untuk mereka dapat ke AS dan dijadikan anak angkat, dan beliau menandatangani dokumen itu,” kata Dr Hartini kepada The Malaysian Insight.
Dr Hartini, yang juga jurucakap kanak-kanak itu berkata sijil kelahiran mereka mendaftarkan mereka sebagai tiada kerakyatan kerana ibu bapa mereka hilang.
“Kami mahu ibu bapa baharu memohon hak anak angkat untuk kanak-kanak itu supaya mereka boleh ke AS menerusi proses pengambilan anak angkat yang betul.
“Keseluruhan proses itu menjamin mereka akan dipantau dan dibesarkan sebagai umat Islam, kerana ibu bapa mereka mualaf.
“Kami beri jaminan kepada Zahid yang ibu bapa itu akan menghantar laporan kepada kami secara bulanan dan suku tahunan,” katanya.
Beliau berkata pasangan itu akan tiba di Malaysia tidak lama lagi untuk melengkapkan proses pengambilan anak angkat.
“Pasangan itu ada di Amerika dan akan datang ke sini untuk mengambil kanak-kanak itu .
“Jadi kami sangat gembira untuk anak-anak ini. Sudah dua tahun kami menunggu.
“Dan kami tidak minta kerakyatan untuk membolehkan mereka dijadikan anak angkat. Soal kerakyatan akan diuruskan di AS,” katanya.
Katanya, beliau berterima kasih kepada The Malaysian Insight dan semua pihak yang membangkitkan isu itu di media.
“Surat terbuka kepada TMI membantu menjadikan isu itu tular, kami bersyukur kepada semua yang membantu,” katanya. – 10 November, 2017.
Komen