Era Dr Mahathir berakhir


K. Kabilan

Dr Mahathir Mohamad kini dianggap sudah tewas dalam perebutan menjadi perdana menteri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 28 Februari, 2020.

BAGI Dr Mahathir Mohamad, minggu ini adalah yang paling ribut pernah ditempuhnya.

Tujuh hari lepas, menjelang tengah malam Jumaat, perdana menteri kali kedua itu bercakap penuh bangga kepada media bahawa sekutu politiknya dalam Pakatan Harapan meletakkan sepenuh kepercayaan untuknya menyerah kuasa perdana menteri- seperti dijanji- kepada Anwar Ibrahim selepas Sidang Kemuncak Ekonomi Asia Pasifik, November depan.

“Ada dua pendapat pada malam ini tetapi akhirnya, dan ini saya berasa bangga, semuanya diserah kepada saya.

“Tiada masa ditetapkan, tiada tarikh, tiada apa-apa… hanya (ditetapkan) selepas Apec,” kata negarawan berusia 94 tahun itu.

Anwar yang duduk disampingnya malam itu juga mendedahkan yang beliau sendiri mencadangkan Dr Mahathir diberi ruang mentadbir dan hanya berundur pada masa dan tika sesuai.

Malam itu, seolah-olah mutlak yang isu peralihan kuasa sudah selesai dan ia akan berlaku pada November.

Tetapi, tanpa disedari rakyat, ada dalang yang sedang bermain wayang, termasuklah pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang ketika itu nampaknya memberikan kepercayaan dan kejayaan kepada Dr Mahathir.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dianggap banyak pihak sebagai susuk utama yang diam-diam menyerang rancangan Dr Mahathir.

Muhyddin Yassin dianggap banyak pihak jadi dalang bermain wayang disebalik kebisingan peralihan kuasa Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Februari, 2020.

Beberapa hari selepas itu, Dr Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri, kemudian dilantik sebagai perdana menteri interim, dan dalam perutusan khas merayu supaya dibenarkan membentuk kerajaan baharu tanpa parti politik- konsep baharu dalam politik Malaysia yang selama ini sentiasa berpaksikan politik kepartian.

Memburukkan keadaan, Bersatu yang diasaskannya, berdikit-dikit menyimpang daripada ideologi perjuangan mereka, sehingga menyingkirkan negarawan itu dan menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri, semalam.

Hanya dalam seminggu, Dr Mahathir yang dianggap tokoh besar Pakatan Harapan terpinggir dan dipinggirkan Bersatu.

Ketika semua rancangan mula terdedah satu demi satu, kerajaan PH turut tumbang apabila Muhyiddin mengumumkan Bersatu keluar daripada pakatan pemerintah, pada hari sama Dr Mahathir meletak jawatan.

Dr Mahathir kemudian berundur sebagai pengerusi Bersatu, memberi petanda yang beliau sudah tewas dalam permainan yang sedang berlaku dan tidak lagi berkuasa dalam partinya.

Beliau bagaimanapun, kembali memegang jawatan pengerusi Bersatu selepas dipujuk kepimpinan parti, tetapi ketika itu, sudah jelas banyak perkara sudah berubah.

Janji menyerahkan kuasa kepada Anwar Ibrahim kini hanya tinggal janji. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Februari, 2020.

Sebelum itu, pendiriannya jelas: Mahu menjadi calon PM dan kerjasama dengan Umno dan PAS bukan satu pilihan. Tetapi, pada Khamis, beliau bercakap tentang Muhyiddin yang juga mahu menjadi calon perdana menteri. Beliau juga mendedahkan yang Muhyiddin terbuka kepada idea bersekutu dengan Umno untuk membentuk blok pentadbiran baharu.

Semalam, seminggu selepas krisis politik menggegarkan negara bermula, Dr Mahathir nampaknya sudah hilang pengaruh dan tidak lagi dianggap calon utama perdana menteri.

Laporan media menyebut yang beliau keluar daripada mesyuarat Bersatu yang sepakat menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri.

Sementara itu, PH juga mula menjarakkan diri daripadanya kerana tidak pasti bagaimana lagi hendak berurusan dengan tokoh yang membawa mereka merempuh pentadbiran satu parti politik, tradisi 60 tahun Malaysia, sehingga berjaya menang PRU14 dan menakluk Putrajaya.

Maka yang rakyat ada sekarang adalah dua bekas timbalan perdana menteri yang pernah dipecat dan kini berebut mahu jadi perdana menteri.

Muhyiddin yang nampaknya mendapat sokongan Bersatu, Gabungan Parti Politik Sarawak (GPS), Warisan (Sabah), PAS dan Barisan Nasional yang Umno masih lagi pemain utamanya.

Rakyat juga ada Anwar Ibrahim yang menerajui Pakatan Harapan terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah.

Dr Mahathir masih lagi pengerusi Bersatu.

Dr Mahathir Mohamad akan terus dikenang sebagai negarawan ulung Malaysia, dan baktinya menerajui usaha menumbangkan kerajaan kleptokratik Najib Razak akan jadi catatan sejarah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Februari, 2020.

Muhyiddin, sekirangnya berjaya, mungkin masih akan membenarkan Dr Mahathir keluar daripada arena politik dengan penuh bermaruah, melantik negarawan itu sebagai menteri mentor.

Ini juga boleh memastikan pemimpin emas yang degil itu rapat dengan pentadbiran, mungkin boleh mengelak daripadanya masuk campur dan bekerja menentang kerajaan dan perdana menteri baharu.

Lagipun, Dr Mahathir pernah melakukan perkara serupa sebelum ini- tiga perdana menteri pernah jadi lawannya. Beliau juga licik dan bijak menyingkirkan mana-mana timbalan perdana menteri yang tidak menurut kemahuannya.

Sepanjang kerjaya politiknya yang mencecah usia lebih 60 tahun, Dr Mahathir sentiasa berjaya melepaskan diri daripada masalah dan kesukaran.

Beliau menjadi perdana menteri Malaysia sebanyak dua kali, membentuk dua buah parti politik, berjaya bekerjasama dengan pesaing politik dan parti pembangkang.

Malah, bakti paling utamanya adalah memberikan harapan kepada seluruh rakyat Malaysia dengan menerajui usaha menumpaskan kerajaan kleptokratik Najib Razak pada 2018.

Bagaimanapun, perjuangan politik Dr Mahathir Mohamad nampaknya akan berakhir di sini. – 29 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen