MINGGU hadapan, Malaysia berkemungkinan besar akan mempunyai perdana menteri dan kerajaan baharu susulan beberapa perkembangan terkini yang berlaku semalam.
Pertama, sekarang sudah terang lagi bersuluh yang dua calon utama merebut jawatan perdana menteri ialah Anwar Ibrahim dan Muhyiddin Yassin, kedua-duanya bekas timbalan perdana menteri yang dipecat dan kini mewakili pakatan politik berbeza.
Setakat pagi tadi, Muhyiddin yang merupakan presiden Bersatu mempunyai sedikit kelebihan dalam aspek jumlah sokongan ahli Parlimen berbanding Anwar.
Kedua, Yang Di Pertuan Agong akan berjumpa ketua semua parti politik minggu depan untuk menilai sama ada mereka menyokong Anwar atau Muhyiddin atau calon lain.
Ini berlaku selepas Agong menembual 222 ahli Parlimen pada Selasa dan Rabu lepas, tetapi gagal menemui calon perdana menteri yang mendapat sokongan majoriti.
Jika usaha terbaru Istana itu masih gagal memecah kebuntuan politik minggu depan, rakyat Malaysia berkemungkinan besar akan kembali ke peti undi.
Pilihan ini bagaimanapun pada pandangan aktivis masyarakat sivil boleh menjejaskan negara disebabkan kelembapan ekonomi global dan wabak Covid-19 yang berlaku sekarang.
Selepas seminggu keadaan huru hara, patah dan pusing balik politik, dua pakatan politik yang utama sekarang berkisar kepada teraju Anwar dan Muhyiddin.

Tetapi, yang akan bertindak selaku “bidak penentu” adalah pemain politik di Sabah dan Sarawak, yang mempunyai 33 orang wakil di Parlimen.
Bagaimanapun, situasi masih belum mutlak dan tetap, malah kerjasama politik yang boleh berubah sekelip mata menyebabkan rakyat Malaysia hanya boleh menanti istana mengumumkan antara Anwar dan Muhyiddin, siapa yang akan meraih sokongan terbesar wakil rakyat.
Apa yang berlaku sebenarnya?
Kerajaan Pakatan Harapan yang hanya berusia 22 bulan tumbang pada 24 Februari selepas Bersatu yang mempunyai 26 wakil Parlimen memutuskan kerjasama politik.
Sebelas wakil rakyat PKR yang diterajui bekas timbalan presiden Azmin Ali juga mengumumkan mereka keluar parti.
Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan selaku perdana menteri tetapi dilantik semula sebagai perdana menteri interim oleh Agong. Beliau juga berundur sebagai pengerusi Bersatu.
Pada mulanya, Bersatu dan 11 wakil Parlimen bekas PKR yang memberontak mahu berpakat dengan Umno, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Warisan Sabah untuk membentuk “kerajaan Muafakat Nasional” dengan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.
Tanpa diduga mereka, Dr Mahathir sudah berpatah arang dengan Umno dan PAS, maka rancangan itu gagal.

Istana masuk campur apabila Agong menitahkan semua 222 ahli Parlimen datang menghadap bagi menentukan siapakah calon pilihan mereka sebagai perdana menteri atau mereka mahu pilihan raya umum baharu diadakan.
Umno dan PAS kemudiannya membatalkan sokongan kepada Dr Mahathir dan mengumumkan 57 wakil rakyat mereka mahukan pilihan raya baharu.
Selepas beberapa mesyuarat dengan kepimpinan Bersatu, Dr Mahathir kembali memegang jawatan pengerusi dan parti mengumumkan akan menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.
Bagaimanapun, “sokongan” kepada Muhyiddin oleh Bersatu ini dipertikaikan Kadir Jasin yang mendakwa ia keputusan ahli Parlimen Bersatu dan bukannya pendirian rasmi parti.
Semalam juga, Umno dan PAS sekali lagi berubah pendirian apabila menyatakan sokongan kepada Muhyiddin.
PH yang kini hanya terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah pada Selasa lalu, menyatakan sokongan kekal kepada Anwar.
Bagaimana kedudukan mereka?
Bersatu mengumumkan bersama-sama 11 wakil diterajui Azmin, mereka mempunyai 36 ahli Parlimen. Dengan tambahan 39 lagi ahli Parlimen daripada Umno dan 18 orang daripada PAS, Muhyiddin kini meraih sokongan 93 wakil rakyat.

Sekutu Umno dalam Barisan Nasional pula, MCA mempunyai dua wakil rakyat dan MIC hanya seorang serta PBRS seorang.
Ini membawa kepada jumlah sokongan untuk Muhyiddin sebanyak 97 orang.
Anwar mempunyai 93 wakil rakyat yang setia kepadanya, kesemua mereka daripada PH.
Antara yang belum menyatakan sokongan adalah GPS daripada Sarawak yang mempunyai 19 ahli Parlimen dan Gabungan Sabah dengan lima kerusi.
GPS akan mengumumkan pilihan mereka pada 1 Mac.

Warisan dari Sabah pula mempunyai sembilan ahli Parlimen, dan seorang lagi ahli Parlimen daripada Upko yang dikaitkan dengan kerajaan PH yang sudah tumbang.
Empat hari lalu, Warisan mencadangkan Dr Mahathir kekal sebagai perdana menteri, tetapi setakat semalam mereka masih berdiam diri tentang sokongan kepada Muhyiddin atau Anwar.
Diramalkan parti politik Borneo akan menerima jemputan rundingan daripada semua puak berkrisis pada hujung minggu ini. – 29 Februari, 2020.
Komen