KEPUTUSAN menyokong Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri adalah keputusan ahli Parlimen Bersatu, dan bukan keputusan parti, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti A Kadir Jasin.
Katanya, pendirian terakhir MPT Bersatu ialah Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai perdana menteri, seperti yang diputuskan dalam mesyuarat pada Isnin lalu.
“Ini bukan keputusan Bersatu. Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu tidak dibawa berunding atau dimaklumkan mengenai hal ini,” katanya dalam satu kenyataan ringkas di Facebook.
Awal hari ini, Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya berkata ahli Parlimen Bersatu membuat keputusan menyokong Muhyiddin sebagai calon perdana menteri dalam mesyuarat mereka pagi ini. Bersatu mempunyai 26 Ahli Parlimen, termasuk Dr Mahathir Mohamad.
Mesyuarat juga disertai 10 ahli Parlimen bekas PKR yang diketuai bekas timbalan presiden parti itu, Mohamed Azmin Ali.
Tidak lama selepas pengumuman Marzuki, parti-parti lain bermula dengan Umno dan PAS, mengumumkan pendirian sama.
Sementara itu, Kadir berkata beliau tidak hairan Umno dan PAS menyokong Muhyiddin jadi perdana menteri.
Katanya, mereka menggunakan slogan agama, bangsa, negara, maruah dan sebagainya untuk menutup apa yang mereka lakukan.
“Dr Mahathir berulang kali mengingatkan MPT bahawa Umno ‘desperate’ untuk menubuhkan kerajaan campuran dengan Bersatu kerana hari penentuan bagi para pemimpinnya yang sedang dibicarakan semakin hampir.
“Sementara itu jenayah baru telah ditemui termasuk jenayah berat,” katanya.
Kadir mengingatkan bagaimana Bersatu lahir daripada kempen Selamatkan Malaysia dan Deklarasi Rakyat 2016.
“Tidak seperti Dr Mahathir yang hanya bersedia menerima pemimpin Umno sebagai individu, Muhyuddin sanggup menerima mereka sebagai parti.
“Prinsip Tun adalah beliau menghormati keputusan rakyat jelata yang menolak penjenayah kleptokrasi dalam PRU 2018,” katanya.
Sekurang-kurangnya tiga ahli Parlimen Umno sedang dibicarakan di mahkamah atas pelbagai tuduhan jenayah rasuah, menyeleweng dan mengubah wang haram. Mereka ialah bekas perdana menteri Najib Razak, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas menteri Tengku Adnan Tengku Mansor. – 28 Februari, 2020.
Komen