PEMIMPIN politik dan penyokong Bersatu, Umno dan PAS berkumpul di kediaman Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, Kuala Lumpur sejak petang tadi selepas namanya dicalonkan sebagai perdana menteri.
Umno dan PAS yang membentuk kerjasama Muafakat Nasional, masing-masing menyuarakan sokongan terhadap presiden Bersatu itu untuk memimpin negara.
Turut hadir adalah Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal yang juga merupakan Presiden Warisan.
Warisan masih belum mengisytiharkan secara terbuka sama ada mereka menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri yang baharu.
Antara pemimpin lain yang hadir adalah Ahli Parlimen Sembrong Hishamuddin Hussein (Umno); Ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamed (Bersatu); Ahli Parlimen Alor Gajah Redzuan Md Yusof (Bersatu), Ahli Parlimen Titiwangsa Rina Harun (Bersatu) dan Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan (PAS).
Bekas PKR yang baru menyertai Bersatu juga hadir ke kediaman itu. Antaranya Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah dan Ahli Parlimen Selangau Baru Bian.
Mereka meninggalkan PKR bersama Azmin Ali, Zuraida Kamaruddin dan tujuh lagi ahli Parlimen parti itu.
Ahli Parlimen Batu Pahat Rashid Hasnon meninggalkan lokasi itu kira-kira 7 petang tadi tanpa memberi komen kepada media.
Sementara itu pembantu Muhyiddin memaklumkan kepada The Malaysian Insight bahawa tiada pengumuman akan dibuat oleh beliau pada malam ini.
Dalam satu kenyataan bersama awal hari ini, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa dan Takiyuddin dari PAS berkata 57 ahli Parlimen dari kedua-dua parti itu menyokong presiden Bersatu itu untuk menjadi perdana menteri.
“Muafakat Nasional bersetuju menamakan Muhyiddin Yassin, Ahli Parlimen Pagoh sebagai perdana menteri kelapan,” kata mereka.
Dengan sokongan Umno, PAS dan parti komponen Barisan Nasional, Muhyiddin kini memiliki 97 sokongan ahli Parlimen.
Setakat ini, 92 ahli Parlimen Pakatan Harapan menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
Sementar itu, dalam kenyataan berasingan, Setiausaha Agung Barisan Nasional Tengku Adnan Tengku Mansor berkata semua parti komponen menyokong Muhyiddin menjadi perdana menteri.
“Umno mempunyai 39 ahli Parlimen bersama-sama MCA (2) dan MIC (1) menyokong penuh Muhyiddin,” katanya.
Gabungan parti pemerintah Sarawak, GPS berkata mereka akan mengumumkan pendirian pada 1 Mac ini. – 28 Februari, 2020.
Komen