MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Najib Razak untuk menangguhkan saman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menuntut bayaran cukai tak berbayar mencecah RM1.69 bilion.
Bekas perdana menteri itu memohon penangguhan saman sementara menunggu rayuan taksiran cukai yang dibuat terhadap lembaga rayuan LHDN.
Hakim Ahmad Bache hari ini bagaimanapun memutuskan yang Najib tidak mempunyai sebab kukuh untuk menangguhkan saman itu.
“Secara umumnya, undang-undang percukaian negara ini berkisar kepada cukai perlu dibayar dahulu, atau dalam kata lain, ‘bayar dahulu dan bincang kemudian’. Ini terpakai tanpa mengira sebarang ketidakpuasan hati dalam mana-mana pihak pembayar cukai,” katanya dalam penghakiman itu.
Menurutnya lagi, Seksyen 103 dan 106 Akta Cukai Pendapatan 1967 memberi kuasa kepada LHDN untuk meneruskan kutipan bayaran cukai tak berbayar Najib.
“Jika prosiding penangguhan dibenarkan, ia akan memberi kesan besar kepada proses kutipan balik cukai.
“Ia akan memulakan duluan buruk apabila ia membolehkan pembayar cukai lain untuk menggunakan pelbagai alasan bagi mengelak membayar cukai,” tambahnya.
Katanya lagi, Najib juga gagal membuktikan wujudnya “keadaan khas” untuk prosiding penangguhan saman.
Hakim turut memutuskan yang LHDN mempunyai kemampuan monetari untuk memberi pampasan kepada Najib sekiranya bekas perdana menteri itu berjaya dalam rayuannya di Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan. – 28 Februari, 2020.
Komen