KEPUTUSAN untuk membentuk kerajaan “gabungan baharu” di Johor adalah berdasarkan hasil perbincangan dengan pucuk pimpinan Bersatu pusat termasuk Presiden Muhyiddin Yassin.
Dalam sidang media pertamanya sejak Bersatu keluar dari Pakatan Harapan (PH) empat hari lepas (24 Februari), Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal berkata gabungan baharu yang belum diberi nama itu, akan merangkumi Umno, MIC, MCA, PAS dan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada parti lain.
“Keputusan dibuat berdasarkan hasil perbincangan dengan pucuk pimpinan Bersatu pusat termasuk Muhyiddin,” katanya ketika ditanya mengapa Bersatu Johor memilih untuk bersama Umno sedangkan Bersatu Kedah memutuskan kekal bekerjasama dengan PH.
Ketika ditanya bila kerajaan negeri “gabungan baharu” dapat dibentuk, beliau berkata seawal-awalnya akhir minggu ini.
“Kami akan bincangkan senarai nama calon menteri besar untuk dipersembahkan kepada Sultan Johor ...kami sedang tunggu tarikh untuk menghadap,” katanya
Terdahulu hari ini, Istana Johor mengesahkan kerajaan negeri “gabungan baharu” daripada parti-parti termasuk Bersatu dan Umno akan ditubuhkan di Johor.
Ini adalah susulan kedudukan kerajaan PH di Johor sebelum ini yang hilang majoriti kerana tindakan Bersatu keluar daripada PH, Isnin lepas, sekali gus mewujudkan situasi kerajaan negeri yang tergantung.
Menurut kenyataan Setiausaha Sulit kepada Sultan Johor Jaba Mohd Noah, pewujudan gabungan baharu itu dimaklumkan bersama Pengerusi Perhubungan Umno Johor Hasni Mohammad pada majlis menghadap Sultan Ibrahim, semalam.
Semalam, setelah pertemuan dengan 54 Adun Johor, Sultan Johor berpuas hati bahawa gabungan baharu telah memperoleh majoriti mudah iaitu 28 Adun berbanding 26 Adun memilih PH.
Daripada 56 Adun itu, Adun Simpang Jeram Salahuddin Ayub dan Adun Puteri Wangsa Mazlan Bujang tidak dapat hadir.– Bernama, 27 Februari, 2020.
Komen