Kumpulan Azmin sokong Muhyiddin sebagai PM, kata pemimpin Bersatu 


Diyana Ibrahim

Bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali bersama 11 ahli Parlimen Bebas yang lain dijangka akan mengundi Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, Isnin ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Februari, 2020.

AHLI Parlimen Bersatu dan 11 ahli Parlimen bebas dari kumpulan Mohamed Azmin Ali akan menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, kata Redzuan Yusof hari ini,

Ahli Parlimen Alor Gajah itu berkata, perkara berkenaan dibincangkan dalam pertemuan dengan Muhyiddin selepas presiden Bersatu itu bertemu Perdana Menteri Sementara Dr Mahathir Mohamad di pejabatnya di Putrajaya.

“Ya menyokong, kalau termasuk Tun Mahathir. Bersatu 25 ahli Parlimen dan 11 ahli Parlimen bebas,” katanya kepada media ketika ditemui di luar kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara.

Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir yang mengesahkan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri dari Bersatu.

Bersatu mempunyai 26 ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Dr Mahathir berkata beliau Muhyiddin boleh jadi perdana menteri kelapan sekiranya beliau mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen di Dewan Rakyat yang akan membuat penentuan pada Isnin ini.

Menurutnya, beliau membincangkan kemungkinan itu dalam pertemuan selama dua jam dengan Muhyiddin hari ini.

“Ada beberapa kemungkinan yang kami bincangkan termasuk Muhyiddin jadi calon perdana menteri.

“Kalau semua (ahli Parlimen) pilih beliau, saya okay. Kalau beliau ke Parlimen dan dapat majoriti maka beliau berhak jadi PM,” kata Dr Mahathir, selepas mengumumkan pakej rangsangan ekonomi di Putrajaya, hari ini.

Katanya, Muhyiddin lebih terbuka menerima kerjasama dengan pembangkang.

“Pendirian saya ialah saya tidak terima Umno tetapi saya terima mereka yang tinggalkan Umno.” 

Terdahulu beberapa pemimpin Bersatu dan kumpulan ahli Parlimen blok dilihat berkumpul di rumah kediaman Pengerusi Bersatu Muhyiddin Yassin sejurus beliau dari Putrajaya selepas perjumpaan dengan Dr Mahathir Mohamad

Antara yang dilihat hadir ialah Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiande, Ahli Parlimen Larut Radzi Jidin, Ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamed, Ahli Parlimen Tumpat Kamarudin Jaffar, Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin dan Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik.

Awal hari ini juga, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mendedahkan Umno dan parti Islam itu menandatangani surat akuan bersumpah menyokong Muhyiddin sebagai calon perdana menteri, selepas Dr Mahathir letak jawatan pada Isnin lalu.

Bagaimanapun apabila menghadap Agong, PAS dan Umno menyatakan mereka mahu Parlimen dibubar.

Pendedahan Tuan Ibrahim itu bagaimanapun dinafikan oleh kedua-dua setiausaha agung Umno dan PAS. – 27 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen