SPRM tak jumpa putera Saudi yang didakwa tandatangan surat derma Najib


Bede Hong

SPRM tidak berjumpa dengan putera Arab Saudi yang didakwa mengesahkan Najib Razak menerima derma daripada keluarga diraja itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 27 Februari, 2020.

PASUKAN penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang dihantar ke Arab Saudi tidak bertemu Putera Saud Abdulaziz Majid Al Saud yang didakwa menandatangani empat pucuk surat mengakui derma keluarga diraja kepada Najib Razak, mahkamah tinggi diberitahu hari ini.

Pembantu Pesuruhjaya SPRM mohd Nasharudin Amir yang memberi keterangan pada perbicaraan SRC International hari ini adalah salah seorang daripada lima pegawai yang pergi ke Riyadh pada 27 November 2015 untuk menyiasat AS$681 juta (ketika itu RM2.6 bilion) yang masuk ke dalam akaun Najib dua tahun sebelum itu.

Apabila disoal balas pendakwa raya khas V Sithambaram, saksi kesembilan pihak pembelaan itu berkata pasukan itu hanya berjaya mengambil kenyataan individu yang mendakwa dirinya wakil putera raja itu, Mohammad Abdullah Al Koman.

Sithambaram: Adakah bukti dokumen diperolehi ketika lawatan SPRM ke Arab Saudi?

Nasharudin: Tidak ada.

Sithambaram: Bolehkah awak sahkan orang yang ditemubual di istana (di Riyadh) adalah Putera Saud Abdulaziz?

Nasharudin: Saya tak boleh.

Sithambaram: Adakah orang yang ditembual oleh (pegawai SPRM Hafaz Nazar), Putera Saud Abdulaziz yang menandatangani empat pucuk surat berkenaan?

Nasharudin: Tidak.

Sithambaram: Menurut kenyataan awak yang diberikan tadi, orang yang ditembual ialah Mohd Abdullah Al Koman. Beliau adalah orang yang tandatangan keterangan SPRM?

Nasharudin: Ya.

Sithambaram: Bolehkah orang lain tandatangan keterangan SPRM selain Mohd Abdullah Al Koman?

Nasharudin: Tak boleh.

Sithambaram sedang menolak cadangan awal pasukan pembelaan yang empat pucuk surat kepada Najib adalah sah dan tulen kerana SPRM sudah menembual Mohd Abdullah yang mewakili putera berkenaan. – 27 Februari, 2020.

Berita penuh di sini.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen