KERAJAAN persekutuan tidak mengumumkan sebarang peruntukan baru kepada mangsa banjir di Pulau Pinang berikutan bencana yang melanda negeri itu minggu lalu, kata kerajaan negeri.
Ketua Menterinya Lim Guan Eng berkata, Perdana Menteri Najib Razak tidak mengumumkan dana baru ketika melawat mangsa banjir di negeri itu pada Selasa.
Katanya terdapat keperluan untuk menjelaskan berhubung perkara itu selepas ia disalah lapor bahawa Najib mengumumkan RM150 juta untuk projek tebatan banjir di Sungai Pinang, menyebabkan pemimpin Barisan Nasional dikritik kerana “kitar semula pengumuman dana”.
Pengumuman lama, bukan kitar semula
“Apabila Najib membuat kenyataan, beliau sedar ia adalah pengumuman lama dari tahun lepas. Katanya kerajaan persekutuan akan pertimbangkan secara serius untuk memberi dana,” kata Lim kepada pemberita di lobi bangunan dewan undangan negeri hari ini.
“Malangnya, kenyataan itu disalah lapor oleh medianya sendiri, menyebabkan beliau dikritik dan dituduh kitar semula pengumuman oleh pihak tertentu.
“Saya tidak pertahankan Najib. Ianya adalah adil untuk memperbetulkan keadaan.”
Apabila diminta mengulas berhubung laporan perdana menteri meminta Pulau Pinang berhati-hati dalam pembangunan, Lim berkata bencana di negeri itu adalah kerana faktor semula jadi.
“Najib membuat kenyataan itu lewat. Semua tahu bencana itu tiadak kaitan dengan pembangunan. Apa yang berlaku adalah bencana alam.”
Pulau Pinang dilanda banjir paling buruk sejak beberapa tahun lalu, menyebabkan 12,559 orang dipindahkan dari kediaman mereka, berikutan hujan lebat yang bermula pada petang Sabtu dan berlarutan sehingga pagi Ahad.
Paras air meningkat dengan cepat selepas hujan lebat dan angin kencang, yang menyebabkan tanah runtuh serta banyak pokok tumbang.
Abaikan serangan pengkritik
Lim, ketika menjawab kritikan yang dilemparkan kepada kerajaan negeri berkata, pentadbiran negeri tidak akan terganggu oleh serangan sedemikian dan akan terus menumpukan kepada pembaikpulihan Pulau Pinang.
Beliau turut menggesa agar semua pihak tidak mempedulikan cubaan untuk memperkecilkan usaha bantuan banjir.
“Saya tahu ada pihak dalam pembangkang menyindir kerajaan negeri. Mereka boleh sindir saya dan mengkritik saya selama mana yang mereka mahu, Tetapi mereka tidak boleh ganggu mangsa banjir.”
Setakat jam 10 pagi hari ini, 1,161 orang mangsa banjir masih ditempatkan di sembilan pusat pemindahan di Seberang Perai Utara, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Farizan Darus.
306 orang lagi ditempatkan di enam pusat pemindahan di Seberang Perai Tengah.
Pusat pemindahan yang lain ditutup sepenuhnya berikutan ramai mangsa yang sudah pulang ke rumah masing-masing.
Sumbangan dan pembersihan hujung minggu
Lim turut melancarkan laman web Penang Bangkit, yang akan menyiarkan perkembangan bantuan mangsa banjir dan pengumuman lain.
Mereka yang mahu memberi sumbangan kepada tabung bantuan mangsa banjir negeri boleh berbuat demikian dengan melayari laman web berkenaan.
Ketua menteri itu turut menggesa orang ramai untuk meluangkan masa secara sukarela membantu rakyat di negeri itu membersih kediaman mereka hujung minggu ini.
Katanya Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali juga akan berada di negeri itu esok bagi membantu kerja-kerja pembersihan.
Mereka yang berminat untuk menjadi sukarelawan boleh melayari laman web Penang Bangkit untk mengetahui lokasi dan waktu mereka berkumpul.
Sementara itu, exco agama Pulau Pinang Abdul Malik Abul Kassim berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM100,000 untuk membantu masjid, surau dan Sekolah Agama Rakyat yang terjejas dalam bencana banjir.
Menurutnya, terdapat kira-kira 20 buah masjid yang terjejas dalam bencana itu.
Bantuan antarabangsa
Hari ini, Lim turut menerima sumbangan bantuan banjir RM50,000 daripada konsulat China di Pulau Pinang.
Ketua konsulat Wu Jing berkata beliau yakin negeri itu akan pulih dengan pantas.
Beliau berkata kepada Lim, wilayah Shanxi dan Hainan turut menyampaikan ucaoan takziah mereka kepada Pulau Pinang berhubung bencana yang mengorbankan tujuh nyawa, dan memberi mesej sokongan serta menambah Hainan akan memberi sumbangan sebanyak 100,000 yuan (RM63,100).
Beberapa persatuan di China turut mengutip sumbangan bagi membantu Pulau Pinang dalam pemulihan pasca-banjir. – 10 November, 2017.
Komen