PAS minta putus dengan PKR kerana Selena Gomez


Diyana Ibrahim

Pemuda PAS menjadi sayap kedua dalam parti itu membawa dan menyokong usul memutuskan hubungan dengan PKR. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 April, 2017.

PEMUDA PAS mahu memutuskan hubungan dengan Selangor kerana kerajaan negeri itu meluluskan konsert penyanyi antarabangsa Selena Gomez tahun lalu.

Perwakilan dari Shah Alam, Aubidullah Fahim pada perhimpunan tahunan Pemuda PAS pagi ini di Kedah berkata keputusan kerajaan negeri itu membenarkan konsert Selena Gomez pada Jun tahun lepas dilihat sebagai melanggar syarat tahaluf siyasi.

Aubidullah ketika membahaskan usul menyokong memutuskan hubungan dengan PKR berkata antara syarat yang digariskan dalam tahaluf siyasi sebelum ini ialah mengukuhkan kedudukan Islam di Selangor.

Usul itu diterima sebulat suara oleh perwakilan.

Semalam, Dewan Ulama menerima usul perwakilan yang mendesak hubungan dengan PKR ditamatkan walaupun keputusan muktamadnya akan dibuat Majlis Syura.

Hari ini pula, pada perhimpunan tahunan Pemuda PAS, perwakilan termasuk dari Selangor mengecam Menteri Besar Selangor Azmin Ali kerana menghina ulama parti itu.

Aubidullah yang menyokong usul itu mendakwa PKR parti yang oportunis.

“Semua yang dilakukan ada kepentingan sendiri seperti tindakan langkah Kajang,” katanya merujuk kepada plot PKR pada 2014 untuk menyingkirkan menteri besar pada masa itu, Abdul Khalid Ibrahim.

“Ini parti yang tidak peduli apa yang pakatan kata. Bila kita bantah konsert Selena Gomez mereka tidak dengar dan benarkan ia diteruskan,” katanya. – 28 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen