KERAJAAN bukan partisan tidak semestinya akan menamatkan permainan politik kerana mereka masih mempunyai ideologi dan aspirasi sebagai pendorong, kata penganalisis.
Ini pastinya akan memberi kesan kepada pendapat mereka mengenai rang undang-undang (RUU)di Parlimen dan bagaimana mereka akan mengundi.
Tidak seperti Pakatan Harapan (PH) dan pendahulunya yang didorong oleh janji manifesto, bagaimana kerajaan bukan partisan akan mentadbir negara ini?
Mereka juga berkata negara mungkin tidak mempunyai pembangkang dan ia akan menjejaskan sistem semak dan imbang terhadap kerajaan.
Penganalisis politik Prof Madya Jeniri Amir berkata, secara harafiahnya kerajaan perpaduan nampak bagus tetapi ia bukan penyelesaian yang baik bagi semua masalah di negara ini.
Beliau berkata jika pihak pembangkang menjadi kerajaan, tiada parti yang akan menjadi “semak dan imbang” bagi dasar kerajaan.
“Sangat penting untuk mempunyai semak dan imbang dalam sistem demokrasi untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa. Ia tidak selaras dengan aspirasi rakyat dan mandat yang diberikan oleh pengundi pada pilihan raya lalu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau berkata kerajaan bukan partisan ini juga boleh menjadi langkah jangka pendek untuk memenuhi kehendak pihak atau individu tertentu.
Jeniri berkata tada jaminan permainan politik tidak berlaku kerana pelbagai pihak dan individu akan mempunyai ideologi dan aspirasi berbeza, ia akan diteruskan walaupun dalam kerajaan yang tidak memihak mana-mana parti.
Penganalisis politik Khoo Kay Peng berkata cabarannya terletak pada sifat partisan politik Malaysia.
“Kerajaan bukan partisan, secara praktikalnya sangat mencabar, tetapi jika berjaya ia akan membantu pentadbiran memberi fokus kepada isu negara, membuat keputusan berdasarkan kepentingan nasional dan berfungsi melebihi kepentingan parti atau berat sebelah,” katanya.
Berhubung undian RUU dan usul di Parlimen, Khoo berkata ia akan menjadi lebih kepada keputusan individu dan tidak dibuat selaras dengan parti, sambil menambah tumpuan akan diberi kepada merit RUU. – 27 Februari, 2020.
Berita penuh di sini
Komen