PENYOKONG bekas pemimpin PKR Baru Bian menafikan laporan media yang ahli Parlimen Selangau dan bekas menteri Persekutuan itu akan menyertai Bersatu.
“Jika dia masuk Bersatu, kami orang pertama akan tahu,” katany kepada The Malaysian Insight.
“Kami sokongan akar umbinya. Dia tak boleh buat keputusan sendiri. Baru perlu berbincang dengan kami dahulu jika benar dia mahu masuk Bersatu.
“Sebelum ini pun Baru selalu berbincang dengan kami dan tiada sebab untuknya tidak berbincang sekarang,” kata salah seorang penyokong itu lagi.
Seorang lagi penyokong berkata, sekiranya Baru bertindak tanpa berbincang dengan penyokongnya, pemimpin itu bakal kehilangan sokongan besar.
“Ahli politik perlu menjelaskan kepada kami perubahan pihak mereka. Jika mereka buat keputusan sendiri, kami akan anggap mereka mengkhianati kepercayaan kami.
“Mereka pastinya tak akan dapat sokongan saya dan mereka boleh kalah teruk pada pilihan raya akan datang,” kata salah seorang pemimpin akar umbi itu.
Tambah akar umbi itu lagi, jika mengambil kira sejarah lalu, “tidak wujud kemungkinan” Baru akan bertindak sebegitu.
Baru dan dua lagi ahli Parlimend dari Sarawak, Ali Biju (Saratok) dan Willie Mongin (Puncak Borneo) keluar PKR pada Ahad sebagai tanda solidariti kepada bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali yang dipecat parti kerana menyokong Dr Mahathir Mohamad terus menjadi perdana menteri.
Turut dipecat ialah naib presiden Zuraida Kamaruddin.
Pemecatan itu dibuat kerana mereka dianggap menentang pendirian parti dalam isu jawatan perdana menteri.
Kesemua penyokong yang ditemui The Malaysian Insight bercakap tanpa mendedahkan identiti kerana mereka masih lagi ahli PKR. – 26 Februari, 2020.
Komen