Wan Azizah, Anwar tak gentar PAS ugut putus hubungan


Muzliza Mustafa

Presiden PKR Wan Azizah Wan Ismail tiba di Mahkamah Syariah Shah Alam pagi ini untuk menemani suaminya dalam kes tuntutan qazaf yang difailkan terhadap Muhammad Shafee Abdullah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 April, 2017.

KEPIMPINAN tertinggi PKR tenang dengan desakan yang semakin kuat di persidangan PAS untuk memutuskan hubungan dengan parti itu, enggan menyukarkan lagi keadaan.

Malah, Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata segala-galanya berjalan seperti biasa sehingga Majlis Syura PAS membuat keputusan berhubung usul untuk mengakhiri kerjasama antara parti Islam itu dengan PKR.

Reaksi Wan Azizah dan Anwar Ibrahim itu difahami memandangkan situasi sukar yang perlu PKR hadapi jika ikatan itu terputus.

“Keputusan masih perlu diputuskan oleh Majlis Syura. PKR akan tunggu,” kata Wan Azizah ketika ditemui di Mahkamah Syariah Shah Alam pagi ini.

“Keadaan di Selangor juga unik kerana PAS turut memegang jawatan dalam kerajaan negeri,” katanya yang berada di situ bagi menemani suaminya dalam kes tuntutan qazaf yang difailkan terhadap Muhammad Shafee Abdullah.

Wan Azizah berkata beliau percaya PAS masih bersama pembangkang walaupun mereka belum lagi menyertai gabungan baharu Pakatan Harapan, kerana parti Islam itu turut menentang isu Umno dan isu 1MDB.

Ketika ditanya jika PAS memutuskan hubungan PKD adakah ia akan menjejaskan peluang mereka kekal memegang Selangor pada pilihan raya umum akan datang, Anwar berkata: “Terpulang kepada kepimpinan parti.”

“Tetapi kami ada hubungan baik dengan mereka,” katanya.

Semalam, Dewan Ulama menerima usul perwakilan yang mendesak hubungan dengan PKR ditamatkan walaupun keputusan muktamadnya akan dibuat Majlis Syura.

Hari ini pula, pada perhimpunan tahunan Pemuda PAS, perwakilan termasuk dari Selangor mengecam Menteri Besar Selangor Azmin Ali kerana menghina ulama parti itu. – 28 April, 2017


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen